IVAN (tengah) pernah berniaga di bazar Ramadan dan bersedekah lebihan jualan. FOTO Ihsan instagram ivanyussof
IVAN (tengah) pernah berniaga di bazar Ramadan dan bersedekah lebihan jualan. FOTO Ihsan instagram ivanyussof
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bulan Ramadan adalah peluang terbaik buat semua umat Islam untuk mencari ganjaran dan itulah yang diamalkan oleh bekas penyerang kebangsaan, Ivan Yusoff ketika dia berjinak-jinak menjadi peniaga menjual juadah berbuka puasa.

Selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional, pemain yang 10 kali mewakili Harimau Malaya itu berkongsi kenangan dia pernah berniaga di bazar Ramadan dengan menjual makanan seperti otak-otak dan tart buah.

"Selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak saya tidak melepaskan peluang untuk merasai suasana Ramadan dengan menjual juadah berbuka di bazar, memang berbeza kerana kalau sebagai pemain waktu bazar dibuka saya sedang bersiap untuk memulakan latihan di padang.

"Cuma suasana sahaja yang berbeza tetapi perjuangan di waktu yang sama pada sebelah petang. Seronok sebenarnya berniaga di bazar sebab kita dapat rasa kemeriahan sambutan Ramadan serta boleh melihat pelbagai gelagat manusia," kata bekas pemain Kuala Lumpur, Perlis, Sabah dan Shahzan Muda itu.

Bagaimanapun, dalam keseronokan berniaga, Ivan memberitahu beliau tidak lupa untuk menambah amalan dengan bersedekah terutama membabitkan juadah berbuka yang dijualnya ketika itu.

"Lebihan makanan tidak elok jika kita terus membuangnya, saya ketika berniaga dulu lagi setengah jam atau 15 minit hendak masuk waktu berbuka saya akan bersedekah juadah berkenaan terutama kepada pengunjung.

"Pelbagai cara dilakukan untuk bersedekah seperti contoh beli satu, percuma satu, atau melakukan promosi harga, atau terus memberi kepada tangan pengunjung secara percuma," katanya yang sekarang ini menjadi jurulatih dengan pasukan M3, Putrajaya FC.

Selain bersedekah kepada pengunjung, Ivan juga mengakui bahawa beliau sempat untuk menghantar lebihan makanan yang dijual kepada masjid berdekatan dan seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada membuang juadah berkenaan.

Bercerita mengenai bulan Ramadan, beliau mengakui terkenang sambutan ketika di zaman kanak-kanak terutama membesar sebagai budak flat di Lembah Klang.

"Walaupun kami berada di flat atau di bandar tapi kami menghidupkan suasana Ramadan sama seperti di kampung. Memang meriah jika datangnya bulan puasa, saya pula mengambil kesempatan berkumpul untuk bermain bersama rakan-rakan selepas berbuka bersama keluarga.

"Memang tujuannya ingin ke masjid berdekatan, tetapi sudah nama pun budak-budak, memang melencong jadinya, banyak bermain daripada beribadah. Ketika itu saya masih ingat 'port' kami berkumpul di Masjid Azzubair Ibn Awwam," katanya.

Ivan yang membesar di Flat Sri Melaka, juga memberitahu antara aktiviti menarik dan terkenang sehingga sekarang adalah di malam raya, di mana penduduk di situ melakukan aktiviti bertakbir dari rumah ke rumah.

"Kalau flat kami panggil bertakbir dari pintu ke pintu, benda itu saya rasa memang tidak ada di mana-mana flat di Lembah Klang, tetapi kami membawa budaya kampung ke flat2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 9:38 PM