BAZAR Ramadan Stadium Shah Alam.
BAZAR Ramadan Stadium Shah Alam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PEMBUKAAN bazar Ramadan sentiasa dinantikan setiap tahun pada Ramadan.

Ia umpama bulan pesta makanan yang menjual pelbagai jenis makanan termasuk makanan klasik.

Ada yang sanggup 'mengembara' ke bazar Ramadan yang jauh dari rumah kerana mahu mencari kelainan juadah berbuka puasa.

Ada lima lokasi bazar Ramadan di Lembah Klang yang digalakkan dikunjungi untuk memenuhi misi 'memburu' makanan.

1. Bazar Ramadan Stadium Shah Alam

Bazar Ramadan paling popular di Shah Alam yang terletak di Seksyen 13. Setiap tahun sesak dengan kehadiran pengunjung dari Shah Alam dan kawasan berhampiran.

Kemudahan ruang parkir yang banyak dan kawasan bazar luas disediakan untuk keselesaan pengunjung.

Menawarkan pilihan pelbagai juadah berbuka puasa yang lazat dan menjadi buruan pengunjung.

Satu lagi tarikan di bazar berkenaan ialah nasi mandi oleh Cef Ammar yang popular dan ramai pengunjung beratur membeli juadah ini.

BAZAR Ramadan Kampung Baru.
BAZAR Ramadan Kampung Baru.

2. Bazar Ramadan Kampung Baru

Terletak di sepanjang Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Abdullah Kampung Baru yang berhampiran Masjid Kampung Baru.

Antara tarikan utama pengunjung datang ke Kampung Baru untuk mendapatkan agihan bubur lambuk iaitu juadah tradisi kampung itu yang berusia lebih 100 tahun, sambil mengunjungi bazar Ramadan berkenaan.

Oleh kerana bazar ini berada berhampiran kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, kesesakan lalu lintas tidak dapat dielakkan.

Pilihan parkir kenderaan sama ada di tepi jalan atau tapak parkir berbayar RM5 yang disediakan.

BAZAR Ramadan TTDI.
BAZAR Ramadan TTDI.

3. Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI)

Antara bazar Ramadan tumpuan ramai kerana menjual pelbagai jenis makanan jalanan terbaik di Malaysia.

Walaupun berlaku kenaikan harga jualan juadah di bazar itu tahun ini, tetapi tidak menjejaskan kehadiran pengunjung.

Bazar ini terkenal sebagai Bazar Kayangan disebabkan juadah dijual 'luar biasa.'

Antara menu terkenal ialah Mac and Cheese dan Raja Murtabak. Bagi yang menginginkan kelainan untuk juadah berbuka puasa, jangan lepaskan peluang mengunjungi Bazar Ramadan TTDI.

BAZAR Ramadan Putrajaya.
BAZAR Ramadan Putrajaya.

4. Bazar Ramadan Putrajaya

Tiga lokasi popular bazar Ramadan di Putrajaya iaitu Dataran Putrajaya, Presint 3 - bersebelahan Masjid Tuanku Zainal Abidin, Laman Perdana, Presint 1 dan Laman Duta, Presint 15.

Juga antara bazar Ramadan yang sesak dengan kehadiran pengunjung yang terpikat dengan kepelbagaian juadah dijual.

Difahamkan ada lebih 1,000 menu dijual di Bazar Ramadan Putrajaya 2024.

5. Bazar Ramadan Padang Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah

Ada 114 gerai di bazar Ramadan di Padang Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tahun ini di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah.

Ia terletak bersebelahan Padang Perbandaran MPAJ dan menjadi bazar tumpuan di Ampang Jaya.

Pengunjung disarankan datang ke bazar ini awal bagi mengelakkan kesesakan dan dapat membeli juadah yang diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 6:20 AM