SHUHADA MANSOR tahu ramai remaja sekarang tinggal jauh daripada keluarga. Oleh itu, Gen Y kongsikan beberapa bazar yang boleh dikunjungi untuk dapatkan juadah kesukaan anda.

Tidak susah untuk kita temui makanan tradisional kegemaran kita jika pulang ke kampung, tapi bagi anak muda yang me­rantau, tidak mustahil untuk anda temuinya.

‘BURU’ KUIH KEGEMARAN

Sesiapa saja mesti mempunyai kuih atau menu kegemaran. Jika tinggal bersama keluarga, tidak menjadi masalah kerana boleh meminta ahli keluarga sediakan untuk anda. Tapi bagaimana jika anda tinggal sendiri, jauh dari kampung halaman?

Keinginan untuk merasa makanan berbeza setiap kali berbuka pasti ada. Di sini, penulis kongsikan beberapa bazar Ramadan sekitar ibu kota yang terkenal dengan pelbagai juadah kampung.

BAZAR ‘WAJIB’ PERGI

Sekiranya ada kelapangan dan tidak kisah untuk bersesak, apa kata luangkan sedikit masa di bazar Ramadan dan pilih juadah yang mampu membuka selera. Jangan habiskan masa terlalu lama kerana ia akan membuatkan anda tidak henti membeli juadah hingga boleh akibatkan pembaziran.

Gen Y kongsikan bazar yang ramai dikunjungi selain menyediakan pelbagai juadah berbeza.

Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR)- Bazar di Jalan TAR sememangnya menjadi tumpuan warga kota sejak dulu lagi, mungkin kerana ia berada di tengah bandar Kuala Lumpur. Di sini, ia terkenal dengan pelbagai makanan yang dijual dengan harga murah. Antara juadah yang menarik perhatian ramai adalah cendol dan air mata kucing yang dikatakan dijual pada harga serendah RM2!

Taman Melawati- Selain banyak menu tradisional seperti kuih tradisi dari seluruh negara ditawarkan, antara kelebihan lain dikatakan anda boleh ‘terserempak’ dengan ramai artis tempatan yang membuka gerai jualan di sini. Kawasan yang luas selain bilangan gerai yang banyak pasti menjanjikan menu yang berlainan.

Kampung Baru- Bazar Ramadan di Kampung Baru sangat popular dalam kalangan penduduk kota. Jika bekerja sekitar ibu kota, di sini adalah lokasi terbaik untuk berbuka. Selain gerai jualan, kedai makan juga masih menghidangkan menu ala kampung. Difahamkan, bazar ini menempatkan kira-kira 150 gerai dan antara juadah kegemaran ramai di sini adalah bubur lambuk, roti john dan putu bamboo.

Taman Tun Dr Ismail- Gerai disusun di sepanjang Jalan Tun Mohd Fuad 3 ini sangat terkenal dan menawarkan pelbagai juadah istimewa seperti tepung pelita, nasi tomato dengan ayam masak merah dan juga popiah. Mungkin harganya sedikit berbeza berbanding di kampung tetapi apa salahnya jika berbelanja sekali sekala.

Bandar Baru Bangi (Seksyen 16)- Difahamkan, ia adalah bazar terbesar di Bangi dan sentiasa dibanjiri orang ramai sepanjang Ramadan. Juadah terkenal boleh didapati di sini seperti ayam golek, nasi ambeng, nasi lemak kukus dan burger bakar.

Stadium Shah Alam (Seksyen 13)- Bagi pelajar universiti dan kolej sekitar Shah Alam, bazar ini antara ‘port’ terbaik untuk anda memburu juadah berbuka. Kebab, pelbagai air minuman serta lauk-pauk tradisional menjadi tumpuan pembeli yang datang ke situ.

Subang Jaya (Seksyen 18)- Untuk kurangkan tekanan penat bekerja, apa kata datang awal ke sini untuk elakkan kesesakan lalu lintas. Bagi yang gemarkan kambing golek, bazar ini menjanjikan rasa yang terbaik bagi juadah itu.

BUKAN SETIAP HARI

Kita tahu, godaan selera di bazar Ramadan akan membuatkan kita membeli juadah lebih daripada sepatutnya. Akhirnya, makanan yang dibeli tidak habis dan membazir begitu saja.

Gen Y percaya, untuk kawal kewangan ada kala­nya kita perlu memasak di rumah. Oleh itu, jika anda mahu membeli persiapan raya tanpa ada masalah kelak, penulis cadangkan anda selang-seli ke bazar Ramadan. Elakkan daripada berkunjung setiap hari untuk ‘selamatkan’ duit poket anda!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 11:54 AM