Ahmad Salim Bachok

Sama seperti tahun-tahun yang lalu, pada setiap petang sepanjang Ramadan, jalan utama di hadapan taman perumahan tempat tinggal saya di Gombak akan menjadi begitu sesak dan hiruk-pikuk sekali. Walaupun jalannya lebar dan mempunyai lapan lorong (empat lorong bagi setiap arah), kesesakannya memang luar biasa.

Kesesakan berpunca apabila tanah lapang seluas sekitar dua hektar yang terletak di tepi jalan berkenaan bertukar menjadi tapak bazar jualan juadah berbuka pada setiap Ramadan. Dianggarkan ada lebih seratus gerai yang beroperasi setiap hari pada sepanjang petang hingga awal malam di situ.

Walaupun tidak sehebat atau sebesar bazar Ramadan lain di sekitar Lembah Klang seperti bazar di Stadium Shah Alam atau Kampung Baru di Kuala Lumpur, bazar Ramadan berhadapan taman perumahan saya itu tetap mempunyai tarikan tersendiri sehingga menjadi pilihan pengunjung yang bukan saja terdiri daripada penduduk sekitar, tetapi juga pemburu juadah berbuka dari tempat lain.

Antaranya, harga juadah yang dijual di bazar berkenaan terkenal sebagai antara yang paling murah dan berpatutan berbanding dengan harga makanan di tempat lain, terutama jika dibandingkan dengan harga di bazar Ramadan Bangsar atau bazar Taman Tun Dr Ismail.

Selain itu, dikatakan juga kebanyakan juadah di bazar berkenaan lebih enak berbanding bazar di tempat lain.

Satu lagi tarikannya kepelbagaian jenis kuih-muih dan lauk-pauk yang dijual, selain adanya beberapa hidangan unik dan khusus yang hanya boleh didapati di bazar itu, terutama makanan yang berasal dari pantai timur serta juadah khas masyarakat berasal dari Indonesia.

Atas sebab itulah maka bazar Ramadan berkenaan menjadi tumpuan ramai pengunjung dan menyebabkan jalan berhampirannya sesak teruk setiap petang. Akibatnya, jalan empat lorong yang luas dan lebar berkenaan akan menjadi dua lorong atau selorong saja.

Lorong paling kiri biasanya akan dipenuhi kereta, van atau lori kecil milik pengusaha gerai manakala lorong kedua dan ketiga akan menjadi tempat letak kereta kepada pengunjung bazar. Baki satu lorong paling kanan dikongsi oleh ratusan kenderaan lain termasuk bas ekspres, lori, kereta dan motosikal yang terpaksa bergerak seperti siput untuk melepasi kawasan bazar berkenaan.

Menyentuh pasal bazar Ramadan, saya terbaca banyak aduan, komen dan pelbagai ulasan terutama di media sosial dan akhbar mengenai harga makanan yang dijual di beberapa bazar Ramadan pada sepanjang seminggu pertama kita berpuasa pada tahun ini.

Kebanyakan pembeli dan pengguna mendakwa harga makanan terutama lauk-pauk dan kuih-muih, meningkat begitu ketara sekali. Malah ada yang mengadu, sudahlah mahal, saiz makanan seperti martabak dan kuih-muih menjadi bertambah kecil. Tepung yang menyalut inti martabak atau karipap juga semakin tipis, manakala kandungan daging di dalam inti makanan popular ini juga kian sedikit dan halus pula bentuknya.

Bagi saya, cara paling mudah untuk mengatasi atau menangani isu harga makanan di bazar Ramadan yang sentiasa ‘mengembang’ harganya tetapi ‘mengecut’ saiznya ini ialah dengan mengurangkan aktiviti membeli-belah di bazar yang boleh disamakan seperti pesta juadah ini.

Membeli juadah terlalu banyak atau berlebihan biasanya akan hanya mengundang pembaziran. Pada bulan Ramadan, pembaziran dan pembuangan makanan yang dilakukan oleh masyarakat kita begitu keterlaluan sekali.

Menurut satu kajian, pada setiap bulan puasa, kira-kira 3,000 tan makanan akan dibuang begitu sahaja setiap hari. Makanan yang dibuang ini pada asasnya masih tidak disentuh dan selamat untuk dimakan, tetapi terus dibuang ke dalam tong sampah.

Jumlah makanan ini jika diuruskan dengan betul sebenarnya boleh mengenyangkan lebih dua juta orang setiap hari. Maka untuk sepanjang setiap bulan Ramadan, juadah berbuka puasa yang dibazirkan begitu saja oleh masyarakat kita sebenarnya boleh mengelakkan sehingga 60 juta manusia atau dua kali ganda jumlah penduduk Malaysia, daripada kebuluran.

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 4:46 AM