Oleh Michelle Gun


Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2013, Nabila Razali baru saja menyambut ulang tahun ke-22 pada 13 November lalu.

Istimewanya, penyanyi itu diberi kejutan oleh ahli kelab peminat Nabila, Bellanisticfans (BNF) untuk meraikan hari jadinya di Red Box, The Gardens pada 22 November lalu.

Difahamkan peminat bersepakat dengan pengurus penyanyi itu untuk membawanya ke lokasi berkenaan dengan alasan dia perlu membuat persembahan pada satu majlis.

Kejutan itu turut dijayakan keluarga Nabila yang tiba lebih awal di Red Box untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar. Bagi memeriahkan lagi majlis, semua tetamu mengenakan pakaian putih sebagai tema.

Nabila turut diberi satu lagi kejutan apabila penyanyi kacak, Nomad tiba-tiba muncul di majlis. Mengulas mengenai sambutan itu, Nabila berkata, dia terharu dengan usaha kelab peminat BNF yang sudi meluangkan masa dan wang meraikan hari jadinya.

"Saya terkejut apabila melihat keluarga dan peminat menunggu di lokasi. Patutlah saya diminta untuk memakai pakaian serba putih. Disebabkan tema pakaian itu diberitahu pada saat akhir membuatkan saya kelam-kabut mencarinya.

"Bagaimanapun, saya seperti boleh mengagak perancangan mereka kerana mana ada persembahan di Red Box," katanya.

Penyanyi itu berkata, dia tidak menyangka Nomad turut diundang ke majlis ulang tahunnya.

"Terima kasih kepada semua pihak kerana sudi menyambut hari jadi saya, malah turut menjemput Nomad. Peminat terus menyokong saya dari hari pertama menyertai Akademi Fantasia hingga kini.

"Saya terharu dengan usaha peminat dan saya sangat sayang mereka," katanya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan acara memotong kek, diikuti tayangan video perjalanan seni Nabila daripada awal pembabitan dalam program realiti AF. Video itu turut memaparkan ucapan hari jadi dari peminat, sahabat rapat serta rakan seperjuangan AF, Faizul, Aisyah, Amira dan Indah.

Istimewanya, penyanyi itu dihadiahkan potret lukisan dirinya oleh ahli BNF. Majlis diteruskan dengan persembahan duet daripada Nabila dan Nomad dengan lagu popular Nomad berjudul Tetap Menantimu. Sebagai tanda terima kasih, Nabila turut mendendangkan beberapa lagu kepada peminat.

Untuk mengetahui perkembangan karier Nabila boleh mengikutnya di laman sosial Twitter @nabilaAF2013, Instagram dan Facebook, Nabila Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:00 AM