EMPAT karya Yusnor Ef diberi nafas baru.
EMPAT karya Yusnor Ef diberi nafas baru.
Oleh Michelle Gun


Baru saja keluarkan album ketiga April lalu, penyanyi dan komposer kelahiran Singapura, Imran Ajmain kini tampil dengan album mini Aidilfitri yang memuatkan lagu klasik nyanyian Sanisah Huri dan Junainah M Amin.

Album yang diberi judul Aidilfitri, karya cipta Seniman Yusnor Ef itu memuat­kan empat lagu klasik, Joget Aidilfitri, Suasana Riang Di Hari Raya, Bersabarlah Sayang dan Aidilfitri.

Istimewanya, semua lagu klasik itu dipilih sendiri Yusnor atau mesra dipanggil Cikgu Yusnor, kemudian disusun semula Along Exists meng­ikuti cita rasa Imran.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran album Aidilfitri itu baru-baru ini, Imran, 33, berkata kerjasama dengan Yusnor bermula selepas terbabit dalam konsert tribute lagu ciptaan seniman itu di Istana Budaya, April lalu.

“Saya teruja berpeluang bekerjasama dengan Cikgu Yusnor kerana dia seniman hebat dan karya ciptaannya masih didengari sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, Yusnor bagaimanapun terlebih dulu menetapkan beberapa syarat kepadanya sebelum membuat rakaman.

“Semua lagu klasik itu diberikan nafas baru, namun Cikgu Yusnor minta saya supaya tidak terlalu banyak membuat perubahan selain jangan menyelitkan elemen asing seperti rap,” katanya.

Imran berkata, album Aidilfitri itu boleh dimuat turun menerusi aplikasi Spotify dan itunes di telefon pintar.

“Buat masa ini, saya mahu mempromosikan semua lagu itu di aplikasi sosial dan mencetak 2,500 keping cakera padat sebagai ‘merchandise’ dan portfolio,” katanya.

Ujarnya, aplikasi sosial dipilih sebagai platform mempromosikan lagunya kepada umum kerana mahu mendidik peminat memuat turun lagu dari saluran yang betul.

“Peminat boleh membeli atau mendengar lagu saya secara percuma menerusi aplikasi itu. Tambahan pula pendengar kini suka memuat turun lagu secara haram dari Internet,” katanya.

Berkongsi pengalaman lalu, Imran berkata lagu dari album pertamanya mudah didapati laman web sehingga dicetak rompak menyebabkan dia mengalami kerugian besar.

“Ramai pendengar tidak menyedari perbuatan itu salah di sisi undang-undang dan saya pernah bertemu peminat yang mengakui memuat turun semua lagu saya dari laman web,” katanya.

Imran berkata, penyanyi tanah air perlu mencari strategi baru bagi memastikan produk mereka tidak diciplak pihak tidak bertanggung­jawab dan pada masa sama mendapat keuntungan.

“Sudah dua tahun saya menggunakan Spotify dan aplikasi ini memang bagus kerana membayar royalti kepada pencipta lagu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi itu beritahu dia baru selesai menjelajah 15 lokasi di seluruh negara termasuk Singapura bagi mempromosikan album ketiga yang berjudul Setulus Kasih.

“Jelajah itu memakan masa tiga bulan dan saya menghiburkan peminat dengan nyanyian 20 lagu dalam persembahan selama tiga jam di setiap lokasi,” katanya.

Selain itu, Imran turut bekerjasama dengan jenama pakaian Warisan Ninda untuk mempromosikam baju Teluk Blangkah klasik sepanjang Ramadan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 11:08 AM