NOH Salleh
NOH Salleh
Oleh Michelle Gun


Prihatin dengan nasib pesakit buah pinggang, pelajar jurusan Perhubungan Awam dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menganjurkan sesi akustik Malam Kita bagi mengumpul derma yang akan diserahkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Sesi akustik itu akan berlangsung di Teh Tarik Place, Seksyen 7, Shah Alam pada 7 Mei ini, jam 9 malam.

Pesembahan selama dua jam itu akan menyaksikan penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh mendendangkan beberapa lagu hitnya termasuk daripada album baru Angin Kencang.

Selain Noh, turut memeriahkan persembahan pada malam itu adalah John Bear dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Bayaran tiket sebanyak RM20 akan dikenakan untuk menyaksikan persembahan itu dan hasil kutipan akan disalurkan kepada NKF untuk membeli mesin sistem air Reverse Osmosis bagi merawat pesakit buah pinggang.

Ketua Projek Malam Kita, Nurul Ain Mazlan berkata, wang sebanyak RM100,000 diperlukan untuk membeli sebuah mesin sistem air Reverse Osmosis.

“Kami memilih Noh kerana dia penyanyi terkenal selain mempunyai ramai peminat dalam kalangan pelajar di Shah Alam.

“Justeru, kami gembira dan berterima kasih kepada Noh kerana sudi membantu untuk menjayakan projek ini,” katanya.

Menurutnya, sesi akustik itu sebahagian daripada Projek Kaunseling Perhubungan Awam pelajar semester kelima ijazah sarjana muda jurusan berkenaan.

“Kami berharap persembahan ini mendapat sambutan, sekali gus mencapai matlamat mengumpul dana yang diperlukan bagi membeli mesin sistem air Reverse Osmosis,” katanya.

Ujarnya lagi, selain sesi akustik Malam Kita, orang ramai boleh membuat sumbangan kepada NKF dengan menyertai program kesihatan Aerodance dan membeli gelang tangan khas yang dijual pada harga RM5 bagi setiap utas.

Istimewanya, pemenang cabutan bertuah turut berpeluang bertemu dengan Noh selepas persembahan tamat.

Maklumat lanjut mengenai sesi akustik Malam Kita boleh menghubungi Afiqah Azman (0125435008) dan Farah Syahirah (0177726332) atau mengikuti laman Facebook Stay Fit Aerodance.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 12:38 PM