BROCELLI nyanyi untuk pengantin.
BROCELLI nyanyi untuk pengantin.
Susunan Michelle Gun


Hampir 23 tahun mencipta nama dalam industri seni muzik, impian penyanyi tenor klasik Itali tersohor, Andrea Bocelli, 56, merakamkan album yang memuatkan koleksi lagu tema filem akhirnya tercapai menerusi album terbaru, Cinema.

Istimewanya, album yang dijangka dikeluarkan pada 23 Oktober ini turut menampilkan duet Bocelli bersama penyanyi popular, Ariana Grande dan Nicole Scherzinger.

Lebih menarik, album yang memuatkan 16 lagu itu dirakamkan dalam lima bahasa iaitu Itali, Perancis, Sepanyol, Inggeris dan Sicili.

Bocelli berkata, gubahan muzik yang dihasilkan bagi filem kreatif dan bebas, membuatkan dia tertarik untuk merakamkan semula karya berkenaan.

“Album ini impian saya sejak sekian lama dan akhirnya dikabulkan. Selama ini, saya hanya merahsiakan impian itu dan peluang merakamkan semula lagu tema filem sememangnya sesuatu yang amat bernilai bagi saya,” katanya.

Menyifatkan karya berkenaan sebagai klasik yang abadi, penyanyi berharap album Cinema dapat memberi memori manis kepada pendengar.

Album Cinema memuatkan tema lagu filem dari pelbagai generasi antaranya filem Gladiator, The Godfather dan Breakfast at Tiffany’s.

Grande pula berduet dalam lagu E Piu Ti Penso dari filem Once Upon a Time in America, manakala Scherzinger berganding dengan Bocelli dalam lagu Don’t Cry For Me Argentina yang dipetik dari filem muzikal Evita.

Selain Grande dan Scherzinger, pelakon dan penyanyi terkenal, John Travolta membintangi dalam video muzik Nelle Tue Mani (Now We Are Free) yang kini sudah disiarkan dalam YouTube.

Rakaman klip video tema lagu filem Gladiator itu dilakukan di gurun Mojave.

Bocelli berjaya mengangkat karya klasik dalam carta lagu pop di peringkat antarabangsa dan pernah membuat persembahan di hadapan empat presiden Amerika Syarikat, dua Pope, kerabat raja serta acara Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Beliau menjadi penyanyi klasik solo paling laris dengan jualan album mencecah 80 juta unit di seluruh dunia.

Lagu istimewa bagi pengantin

Sepasang pengantin baru di Itali menerima kejutan besar apabila Bocelli tiba-tiba muncul di majlis perkahwinan mereka untuk menyampaikan sebuah lagu di sebuah gereja di Porta ­Venere, Liguria, baru-baru ini.

Persembahan istimewa itu sebagai hadiah Bocelli kepada pengantin Edoardo Provalosi dan Rosa Murroni yang melangsungkan perkahwinan mereka di gereja San Pietro.

Lebih manis, penyanyi itu menyampaikan karya klasik popular komposer lagenda Schubert, Ave Maria.

Kebetulan pada hari itu, Bocelli bercuti dengan keluarganya dan melawat gereja berkenaan yang dibina di atas bekas tapak kuil Roma.

Mendengar ada majlis perkahwinan bakal berlangsung di gereja itu, Bocelli meminta kebenaran warden, Rita Giannasi untuk membenarkan dia memberi persembahan istimewa kepada pengantin.

Giannasi berkata, Bocelli tidak mengenali pasangan itu dan mahu menyanyikan sebuah lagu sebagai hadiah kepada mereka.

“Dia (Bocelli) duduk di organ dan mula menyanyi sebaik pengantin melangkah masuk dalam gereja. Semua orang terpegun dengan persembahannya.

“Selesai lagu itu, dia terus beredar sebelum sesiapa berpeluang mengucap terima kasih kepadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:18 AM