PEMAIN Russia diharap tidak mengambil bahan terlarang.
PEMAIN Russia diharap tidak mengambil bahan terlarang.
Reuters

Chatenay-Malabry, Perancis: Badan induk bola sepak Eropah (UEFA) memberi tumpuan khusus kepada skuad Russia yang dilihat berpotensi menggunakan dadah terlarang pada saingan Euro kali ini, menurut ketua anti doping UEFA semalam.

Russia digantung oleh badan induk olahraga antarabangsa pada November lalu selepas siasatan antarabangsa mendedahkan terdapat penyalahgunaan dadah dan isu rasuah.

Lebih 20 atlet trek dan balapan didapati positif dadah dalam ujian semula yang dijalankan ketika penyertaan di Sukan Olimpik Beijing dan London sekali gus meningkatkan keraguan terhadap mereka pada Sukan Olimpik Rio.

“Kami sedar dengan apa yang berlaku di Russia. Malah kami sudah pun memberikan perhatian yang lebih kepada skuad bola sepak Russia,” kata ketua perubatan dan anti doping UEFA Marc Vouillamoz kepada media di ibu pejabat anti doping di Perancis.

Vouillamoz berkata, UEFA juga bekerjasama dengan Agensi Doping United Kingdom (UKAD) berkenaan isu itu dan skuad Russia serta beberapa pemain dalam skuad itu sudah pun menjalani ujian doping sejak beberapa bulan lalu.

UKAD bertanggungjawab menguji atlet Russia selepas agensi tempatan digantung kerana tidak mematuhi etika tertentu, berikutan beberapa siri skandal doping.

Tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut, Vouillamoz berkata, rata-rata pemain daripada hampir 24 negara yang akan beraksi di kejohanan itu bermula Jumaat ini sudah pun menjalani ujian doping sebanyak dua atau tiga kali.

Russia akan memulakan kempen dengan bertemu England pada 11 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 10:28 AM