Moscow: Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) perlu memasukkan Russia kembali ke dalam badan induk itu secepat mungkin bagi mengelakkan perkembangan atlet negara berkenaan tergendala, kata pengerusi Agensi Anti-Doping Russia (RUSADA) Yelena Isinbayeva (gambar).

Persekutuan Olahraga Russia digantung pada November 2015 selepas kajian bebas Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) mendedahkan kegiatan doping yang ditaja negara berkenaan secara meluas dan IAAF mengesahkan minggu lalu bahawa penggantungan itu akan berlanjutan sehingga tahun depan.

“Saya ingin melihat pada akhirnya mereka akan mencapai penyelesaian. Kami sudah lakukan apa yang diminta, kami melakukannya sebelum Olimpik Rio 2016,” kata bekas atlet lompat bergalah Russia menerusi insidethegames.biz, sebuah laman sukan yang memberi tumpuan terhadap pergerakan Olimpik.

“Saya harap kami dapat bertanding di peringkat antarabangsa tidak lama lagi kerana jika tidak kami tidak akan berpeluang untuk membangunkan sukan itu di Russia, atau bakat kami akan terus hilang begitu saja,” kata juara Olimpik dua kali dan pemegang rekod dunia itu.

Tamparan baru buat negara itu apabila laporan bebas WADA Jumaat lalu mendedahkan bahawa lebih 1,000 atlet Russia daripada 30 sukan terbabit dalam konspirasi merahsiakan keputusan ujian doping mereka yang positif. -Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 8:49 AM