Kuala Lumpur: Penyerang Harimau Malaya, Safee Sali menerima kekalahan 1-2 kepada Vietnam pada separuh akhir pertama Piala AFF 2014 kelmarin, namun percaya mereka mampu menebus kesilapan itu pada aksi timbal balik di Hanoi, Khamis ini.

Keputusan buruk di Stadium Shah Alam itu menyedarkan anak buah Dollah Salleh bahawa prestasi yang ditampilkan pada kejohanan itu setakat ini belum mampu membawa mereka ke final buat kali ketiga selepas muncul juara buat kali pertama pada 2010.

Walaupun Harimau Malaya kini tiada kelebihan selain perlu menewaskan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai baki 90 minit untuk melakukannya.

“Memang satu persembahan yang kurang memberangsangkan daripada pasukan, tak tahu di mana silapnya, sejak dari awal semua tidak menjadi.

“Buat masa ini kami tidak dapat pastikan kesilapan, mungkin selepas ini kami akan belajar balik. Daripada situ mungkin kami akan dapat menilai kelemahan pasukan.

“Sudah tentu kami akan memperbaiki kesalahan, kesilapan dan kelemahan dari sudut positif. Saya juga mengakui tidak bermain baik pada kelmarin. Lebih penting, kami masih memiliki 90 minit lagi dan akan cuba hingga wisel penamat,” kata Safee.

Jelas kekalahan itu amat mengecewakan 65,000 penyokong tempatan yang memenuhi Stadium Shah Alam bagi memberi sokongan kepada Harimau Malaya.

“Terima kasih kepada Ultras dan semua penyokong yang turun memberikan sokongan dan kami harapkan kemenangan, namun sebaliknya berlaku,” ujar Safee, penyerang Johor Darul Ta’zim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:24 AM