Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Kuantan: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pemain Harimau Malaya supaya menghindari perkara negatif ketika skuad negara mempunyai misi mara ke final Piala AFF 2014.

Beliau berkata, pemain sepatutnya menumpukan usaha meningkatkan prestasi dan mengekalkan fokus menjelang perlawanan separuh akhir menentang Vietnam di Shah Alam, Ahad ini dan di Hanoi, 11 Disember.

Merujuk insiden penyebaran gambar penyerang kebangsaan, Safee Sali merokok, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana setiap pemain perlu menjaga disiplin di dalam dan luar padang.

“Jangan merokok kalau nak ‘keep fit’ (kekal cergas), kena jaga kesihatan, tidur awal, fikir positif dan jaga pemakanan. Kalau tidur lambat, merokok, macam mana nak jadi juara.

“Saya harap jurulatih pasukan, Dollah Salleh fokus dan tingkatkan permainan dalam padang. Jangan buat perkara negatif,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat persediaan banjir di Wisma Sri Pahang, semalam.

Kelmarin, FAM memberi amaran keras kepada Safee berhubung kes memegang rokok ketika ‘lepak minum’ bersama rakan sepasukan di Singapura yang tersebar luas di media sosial, baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas peluang skuad negara berdepan Vietnam, Tengku Abdullah berkata, beliau yakin pemain akan mempamerkan aksi terbaik untuk menebus kekecewaan negara pada edisi 2008.

“Jika berdasarkan rekod 2008, kita berdepan laluan sukar ketika menentang Vietnam, tapi tahun ini (kejayaan) mungkin berpihak kepada kita. Saya ada keyakinan dan harap pemain akan bangkit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 6:58 AM