AZMIN (tengah) bergambar bersama kepimpinan FAS.
AZMIN (tengah) bergambar bersama kepimpinan FAS.

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengemukakan permohonan untuk mendapat peruntukan RM15 juta daripada presiden baru yang juga Menteri Besar Mohamed Azmin Ali bagi kegunaan musim depan.

Ia dinyatakan barisan kepimpinan FAS yang mengadakan kunjungan hormat dan pertemuan kira-kira 20 minit dengan Azmin di pejabatnya pagi semalam.

“FAS memohon RM15 juta diperuntukkan kepada persatuan musim depan, namun Azmin masih belum memberikan kata putus. Beliau meminta masa untuk membincangkannya.

“Azmin dilihat sebagai seorang presiden cukup memahami apabila tidak mengharapkan ‘keajaiban’ untuk Selangor meraih piala musim ini.

Malah untuk saingan Liga Super, beliau meletakkan sasaran menduduki kelompok lima teratas,” kata sumber.

Musim lalu FAS diberikan peruntukan RM7.5 juta sebelum Azmin meluluskan peruntukan tambahan RM2 juta baru-baru ini.

Pertemuan barisan exco FAS diketuai Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad dengan Azmin yang pertama selepas beliau dipilih sebagai Presiden FAS pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) kelmarin.

Beliau menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengundur diri dan bakal menjawat jawatan berkenaan hingga 2018 sekali gus melengkapkan tradisi FAS yang sering diketuai Menteri Besar Selangor.

“Namun untuk musim 2016, Azmin mahukan kejuaraan dijelmakan Selangor,” tambahnya.

Persiapan Selangor, naib juara Liga Super 2014 dilihat sederhana walaupun kehilangan penjaring terbanyak dari Brazil, Paulo Rangel kepada Terengganu selain dua tonggak skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias dan S Kunanlan kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:21 AM