Petaling Jaya: Seperti diramal, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali sebulat suara menjadi pilihan ahli jawatankuasa eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai presiden persatuan berkenaan.

FAS dalam mesyuarat malam kelmarin memilih Azmin yang menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor baru-baru ini, sebagai presiden baru dan akan disahkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 3 Disember yang bakal dihadiri kelab gabungan badan induk negeri itu.

“Kami memutuskan untuk memilih Azmin sebagai Presiden FAS yang baru. Abdul Khalid juga bersetuju perkara ini tidak diperbesarkan dan berharap proses peralihan berjalan lancar.

“Kami sudah mengeluarkan surat (semalam) dengan notis 14 hari untuk mengadakan EGM,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Tambah Mokhtar, pemilihan Menteri Besar Selangor sebagai presiden sudah menjadi amalan dan tradisi FAS dengan perlembagaan memperuntukkan keutamaan bagi mengisi jawatan berkenaan adalah individu nombor satu negeri itu.

Arena Metro pada Rabu lalu melaporkan Azmin bakal menggantikan Abdul Khalid yang menyandang jawatan berkenaan sejak 2008 selaras dengan sumbangan kewangan konsisten kerajaan negeri terhadap skuad Selangor.

Perkembangan berkenaan pastinya melegakan FAS terutamanya ketika pasukan lain giat mempersiapkan diri untuk mengharungi Liga Malaysia musim depan dengan tarikh tutup pendaftaran pemain pada 5 Disember.

“Kami akan membentangkan bajet kepada beliau (Azmin) mengenai peruntukan skuad Selangor tahun depan. Kita akan berbincang agar jumlah diberikan praktikal kerana tidak mahu prestasi pasukan merosot.

“Jumlah RM10 juta mungkin tidak mencukupi jika mahu bersaing kerana FELDA United dikatakan memperuntukkan RM20 hingga RM30 juta manakala Johor Darul Ta’zim (Johor DT) RM50 hingga RM60 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:04 AM