Oleh Azlan Muhammad Zain

Shah Alam: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akhirnya akur dengan desakan peminat Merah Kuning untuk melakukan rombakan.

Bagaimanapun rombakan itu bukanlah tindakan drastik dengan memecat mana-mana Exco, sebaliknya membabitkan ahli Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan Antarabangsa.

“Tidak mungkin saya boleh menggunakan kuasa memecat mana-mana individu. Pemilihan Exco dalam persatuan adalah menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Ia perlu dihormati.

“Namun kita mempunyai cara lain dan mekanisme tertentu memajukan bola sepak Selangor.

“Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan Antarabangsa amat penting kerana membabitkan aspek pemilihan pemain dan sebagainya.

“Jika jawatankuasa ini mantap, saya yakin ia mampu melonjakkan pasukan,” kata Presiden FAS Mohamed Azmin Ali.

Azmin menggantikan Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad yang mengetuai jawatankuasa berkenaan sebelum ini.

Terdahulu Azmin mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Bangunan SUK Selangor dengan melantik lima muka baru termasuk bekas Presiden PKNS FC Noor Hisham Mohd.

FAS mendapat desakan hebat penyokong selepas gagal menyerlah dengan kejuaraan terakhir memenangi Liga Super pada 2010.

Kemuncaknya pejabat pentadbiran FAS di Kelana Jaya disimbah cat merah dan kuning pada minggu lalu.

“Rombakan yang kita lakukan hasil tuntutan penyokong. Saya mendengar keluhan dan keresahan mereka. Saya berharap kehadiran muka baru akan memberikan idea bernas.

“Kita juga membuat keputusan untuk mengadakan pertemuan secara berkala bersama penyokong agar dapat mendengar maklum balas,” katanya yang turut merancang mengadakan pertemuan dengan pemain selain mengumumkan pengurus Merah Kuning esok.

Berhubung peruntukan kewangan pasukan, Azmin berkata, terdapat keperluan untuk membantu dan memberi sokongan namun perlu telus dan bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:24 AM