Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bakal mendapat presiden baru apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2008.

Difahamkan persetujuan sudah dicapai berhubung perkara itu antara FAS dan Abdul Khalid yang sepatutnya menyandang jawatan selaku Presiden FAS hingga 2018.

Perkembangan terbaru ini pasti membawa berita gembira buat Selangor yang kini bergolak selepas Abdul Khalid tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar Selangor apabila digantikan Azmin Ali, September lalu.

Abdul Khalid menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) adalah penyumbang terbesar dana Merah Kuning dengan peruntukan mencecah RM8 juta semusim dan sejak menjadi presiden, Abdul Khalid sentiasa memberikan sokongan terbaik kepada FAS.

Namun selepas kehilangan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, Azmin dilihat calon terbaik menerajui FAS dengan Selangor sudah kemarau kejuaraan sejak beberapa musim lalu.

Malah menurut sumber, Azmin sudah bersetuju untuk menerajui FAS bagi menggantikan Abdul Khalid.

FAS dijangka mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif Isnin ini bertujuan mencapai persetujuan bagi mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi melantik Azmin sebagai Presiden FAS yang baru.

Seandainya berjalan lancar, kepimpinan baru FAS pastinya bertambah mantap ketika setiap kelab dan negeri giat mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Malaysia 2015.

Bagaimanapun khidmat bekas pemain Sarawak Junior Eldstal yang dikaitkan dengan Selangor musim depan sudah terlepas apabila menandatangani kontrak setahun bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:09 AM