Pemain Selangor, Ugochukwu Ukah (dua kanan) cuba menanduk bola melepasi asakan pemain T-Team, Wan Ahmad Amirzafran (dua kiri).
Pemain Selangor, Ugochukwu Ukah (dua kanan) cuba menanduk bola melepasi asakan pemain T-Team, Wan Ahmad Amirzafran (dua kiri).
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Apa sudah jadi dengan Selangor? Itu persoalan bermain dalam kalangan penyokong setia Merah Kuning yang berang dengan aksi longlai skuad kendalian Zainal Abidin Hassan selepas tumpas buat kali ketiga berturut-turut.

Bermula dengan keputusan seri bertemu Kelantan dan Pulau Pinang dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super, langkah juara bertahan Piala Malaysia itu semakin goyah apabila gagal mengutip sebarang mata selepas tewas kepada FELDA United, Pahang dan T-Team.

Ia nyata mencabar tahap kesabaran penyokong Merah Kuning yang mula mendesak Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Azmin Ali merehatkan pengendali Zainal Abidin Hassan serta beberapa pegawai tertinggi badan induk negeri itu kerana gagal menguruskan persatuan itu.

Menurut Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid, sudah tiba masanya Azmin Ali yang juga melakukan perubahan segera kepada pasukan dan individu dalam FAS.

“Seperti ada sesuatu yang tak kena dalam pasukan ketika ini. Daripada beraksi baik pada pusingan pertama liga, tiba-tiba pasukan jatuh merudum tak tentu pasal dan lebih mengecewakan apabila Selangor tewas kepada pasukan tercorot Pahang serta kelab baru T-Team.

“Sudahlah tiga piala terlepas (Piala Sumbangsih, Piala Sultan Selangor, Piala AFC) dari genggaman, kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia nampaknya susah untuk dimenangi jikalau aksi semasa diambil kira.

“Kami mahu Selangor contohi apa dibuat Perak yang berani merehatkan jurulatih mereka dan sekarang lihat perubahan yang berlaku kepada pasukan itu,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Jelasnya beberapa pegawai tertinggi FAS dilihat gagal memainkan peranan masing-masing seolah-olah wujud beberapa puak dalam persatuan itu.

“FAS juga gagal berfungsi dengan berkesan. Mereka bergerak begitu perlahan dalam urusan pentadbiran persatuan seperti tidak tahu menguruskan sesebuah organisasi.

“Bayangkan dari awal liga hingga sekarang, kami tak nampak langsung usaha FAS untuk memenuhkan stadium. Malah, kedatangan pemain baru atau yang mahu keluar ke pasukan lain langsung tiada pengumuman rasmi. Inikah yang dikatakan tahap pengurusan terbaik,” katanya.

Bagi Timbalan Presiden Kelab Demi Selangor, Asyraf Yahya, Zainal sendiri harus bertanggungjawab dengan keputusan buruk itu dan perlu memberi peluang kepada jurulatih lain.

“Seingat saya awal musim ini, FAS mengumumkan perbelanjaan pasukan untuk 2016 hampir RM24 juta dengan sasaran muncul juara liga dan mempertahankan Piala Malaysia. Namun pelaburan itu bagaikan sia-sia saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:59 AM