TENGKU AMIR SHAH SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
TENGKU AMIR SHAH SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sedia merombak secara keseluruhan sistem perjalanan pengurusan persatuan terutamanya penjenamaan semula, komersial dan pasukan.

Naib Presiden FAS, Mohd Izhar Moslim berkata, hasil bengkel transformasi FAS bulan lalu menyaksikan 23 inisiatif baharu dicadangkan membabitkan perubahan besar sama ada di tengah mahupun luar padang.

Jelasnya, perkara penting yang menjadi tumpuan utama persatuan ketika ini adalah mengenai soal komersial bagi menjana pendapatan FAS tanpa terlalu bergantung kepada dana kerajaan negeri.

“FAS tidak boleh bergantung kepada bantuan dana daripada kerajaan kerana ia tidak mencukupi untuk membentuk pasukan mantap secara keseluruhan dan boleh menjadi juara.

“Dengan itu beberapa langkah perlu diambil untuk memantapkan bahagian komersial kerana potensi yang dimiliki amat tinggi,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

FAS kini diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilantik sebagai presiden baharu bagi menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal yang melepaskan jawatan Julai lalu.

Jelas Izhar, sejak Tengku Amir mengambil alih tampuk kepimpinan, beberapa perubahan kecil sudah dijalankan termasuk kejayaan mendapatkan semula Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan selepas terpaksa menyewa di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dari awal musim ini selain Stadium Selayang musim lalu.

Ia sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan pasukan yang terpaksa membayar sewa setiap kali Selangor turun sebagai tuan rumah.

“Tuanku Raja Muda bersama Exco dan pengurusan sedang bertungkus-lumus untuk membuat perubahan besar.

“Banyak keputusan sukar harus diambil demi mencapai cita-cita kami terutamanya memenuhi harapan penyokong,” katanya yang turut membayangkan kemungkinan rombakan terhadap pasukan juga dilakukan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 1:46 PM