Shah Alam: Tiada lagi kekangan kewangan membayangi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) musim ini.

Itu yang boleh digambarkan susulan pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan & Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari sebagai pengurus baru Selangor untuk musim 2015.

“Bajet kali ini akan lebih berbanding jumlah tahun lalu, RM7.5 juta hingga RM 9 juta, sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa. Kali ini saya rasa bajet boleh meningkat sekali ganda atau lebih.

“Saya yakin faktor kewangan tidak akan menjadi masalah dan sekarang terpulang kepada pemain dan pihak pengurusan untuk membuktikan sesuatu,” kata Amirudin yang meletakkan sasaran sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Malah beliau menegaskan akan melihat keperluan menjelang jendela perpindahan kedua seandainya perlu melakukan perubahan.

Turut dilantik Noor Hisham Mohd Ghouth sebagai penolong pengurus pasukan.

Terdahulu Amirudin mengiringi Presiden FAS Mohamed Azmin Ali mengadakan perjumpaan bersama pemain dan barisan jurulatih skuad Liga Super Selangor di Stadium Shah Alam.

Azmin berkata, langkah proaktif sudah dilakukan dan mendapat sambutan baik membabitkan penajaan anak syarikat kerajaan negeri dan swasta.

“Saya percaya dengan gandingan ini, kegemilangan Selangor akan dapat dikembalikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 7:56 AM