Georgie Joseph


Meskipun mahligai yang dibina selama 10 tahun berkecai, aktor James McAvoy, 37, dan bekas isterinya, Anne-Marie Duff, 45, masih tinggal serumah.

Keputusan itu diambil pasangan ini kerana tidak mahu perpisahan itu menjejaskan emosi anak tunggal mereka, Brendan, 6.

Setakat ini, tiada perancangan James keluar dari kediaman itu meskipun Anne bukan lagi isterinya.

Menurut sumber, aktor terkenal ini mahu Brendan membesar dalam suasana gembira seperti anak kecil lain.

“Keputusan ini dibuat demi kebahagiaan anak mereka. Buat sementara waktu mereka berusaha meminimumkan masalah di rumah.

“Setakat ini segalanya berjalan lancar. Meskipun berita perpisahan itu sangat menyedihkan, mereka menyembunyikannya daripada pengetahuan Brendan,” kata sumber yang rapat dengan pasangan itu.

Pasangan berkenaan berkenalan selepas membintangi filem Shameless lebih sedekad lalu. Mereka melakonkan watak sebagai pasangan kekasih dan menjalin hubungan istimewa selepas itu.

Berita perceraian pasangan ini disahkan minggu lalu dan kedua-duanya mengakui sangat sedih terpaksa memilih jalan itu.

“Meskipun sudah berpisah, kami masih saling menyayangi dan menghormati. Kami akan terus berkawan demi Brendan,” kata James.

Dalam pada itu, James dikatakan rapat dengan pelakon X-Men: Apocalypse, Alexandra Shipp, 24, selepas berpisah dengan Anne.

“Bukan lagi rahsia James dan Alexandra kini sangat rapat. James juga terbuka bercerita mengenai kegagalan rumah tangganya kepada kru dan rakan artis di set penggambaran.

“James dan Alexandra rapat ketika sama-sama membintangi filem ini,” kata sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 10:08 AM