LADY Gaga bersama Kinney.
LADY Gaga bersama Kinney.
Susunan Georgie Joseph

Penyanyi ini pernah menjadi artis paling kontroversi tidak lama dulu dan dihujani pelbagai tohmahan gara-gara keunikan penampilan, personaliti, mahupun muzik dibawakannya.

Tidak ada siapa akan lupa kepada Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta, 28, kerana sebaik disebut namanya, imaginasi seseorang pasti terus tertangkap penampilan gilanya.

Tahun lalu, dia bagaimanapun mengejutkan dunia apabila cita rasa fesyennya berubah 360 darjah dengan menjadi seorang wanita elegan. Pelbagai reaksi baik memuji juga terkilan kerana perubahan itu, namun barangkali perubahan itu disebabkan dia mahu beralih fasa hidup.

Baru-baru Gaga akhirnya menge­sahkan dia kini rasmi menjadi tunangan kepada aktor tampan Taylor Kinney, 33, dengan berkongsi sendiri gambar cincin rekaan Lorraine Schwartz yang tersarung di jarinya.

Bahkan, pasangan itu juga mungkin akan berkahwin dalam masa terdekat selepas Taylor melamar Gaga pada Hari Kekasih, 14 Februari lalu.

Dikhabarkan, sebaik Kinney membuat lamaran itu, mereka berdua terus meraikan berita gembira itu di restoran milik keluarga Gaga, Joanne Trattoria, di Manhattan. Selepas hari itu, Gaga kelihatan berjalan di kota New York dengan senyuman lebar sambil tersipu menyembunyikan cincin di jarinya.

Gaga dan Kinney berkenalan sejak 2011 di mana aktor berkenaan turut terbabit dalam penggambaran muzik video lagu You & I dendangan penyanyi itu. Beberapa bulan kemudian, mereka mula keluar bersama sebelum menjalin hubungan lebih rapat, namun berpisah pada Mei 2012.

Bagaimanapun, perpisahan itu nampaknya hanya bertahan sebulan apabila Jun 2012 mereka kembali bersama dan diwawancara satu majalah baru-baru ini, Gaga mengakui dia tidak akan teragak-agak untuk bersetuju jika Kinney mengajaknya berkahwin.

“Dia lelaki paling tepat untuk menjadi suami saya,” katanya yakin.

Sementara itu, Kinney pula berkata, Gaga adalah individu yang berjaya membuatnya berusaha untuk terus-menerus menjadi lebih baik.

“Dia sentiasa berada di sisi dan percaya dengan kebolehan saya. Saya sangat bangga dengan apa yang dia buat pada industri muzik, hasil kerjanya dan kerja amalnya.

“Selain menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar sana, dia juga sumber inspirasi saya,” kata pelakon Other Woman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:57 AM