Rudy Imran Shamsudin


DALAM kehangatan tabloid hiburan membicarakan pergolakan rumah tangga Miley Cyrus, penyanyi dan pelakon terkenal itu menidakkan kenyataan terbabit dengan memuat naik ucapan selamat menyambut ulang tahun ke-10 hubungan bersama suaminya, Liam Hemsworth di laman sosial.

Miley berkahwin dengan aktor terkenal kelahiran Australia itu akhir tahun lalu selepas bercinta dan bertunang hampir sembilan tahun.

Penyanyi yang popular dengan lagu Wrecking Ball dan The Climb itu turut menyindir tabloid yang menyiarkan berita kononnya dia dan Hemsworth akan berpisah.

Menggunakan gambar menarik sepanjang hampir sedekad perhubungan mereka, Miley berkata ada sesetengah pihak hidup dalam kebodohan sejak 2009. Malah, ada perkara memang tidak akan pernah berubah.

“Selamat menyambut ulang tahun ke-10 sayang. Diharapkan perasaan awak kepada saya tidak pernah berubah,” katanya.

Hemsworth dan Miley bertemu pada 2009 sewaktu sama-sama membintangi filem The Last Song yang diinspirasikan daripada novel karya Nicholas Sparks.

Setahun selepas penggambaran filem itu, Miley dan Hemsworth mula bersikap terbuka dengan peminat dengan mengumumkan hubungan mereka dan sering dilihat menghadiri acara karpet merah bersama.

Miley juga pernah memberi kenyataan bahawa suaminya itu turut menjadi sumber inspirasi sewaktu menghasilkan album Can’t Be Tamed.

Begitupun, sepanjang 10 tahun bersama sebelum kedua-dua bintang terkenal itu mengambil keputusan untuk berkahwin pada Disember lalu, berita mengenai perpisahan mereka sering menjadi perhatian media.

Menurut sumber terdekat yang memberikan kenyataan sebelum ini, walaupun berlaku perpisahan sepanjang 10 tahun Miley dan Hemsworth bersama, ia bukan kerana bergaduh atau membenci antara satu sama lain.

Sebaliknya keputusan untuk berpisah buat sementara itu kerana mereka sangat sibuk dengan jadual kerja dan tidak mahu hubungan mereka mengganggu tumpuan tugas.

Berjaya mengatasi pelbagai ranjau dalam perhubungan sebelum pasangan itu nekad memateri janji sebagai suami isteri membuatkan peminat menghargai Miley dan Liam.

Tidak kurang juga ada yang menjadikan mereka contoh terbaik dalam menjalani hubungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:00 AM