PASUKAN USM dan Jabatan Kesihatan negeri bergambar kenangan selepas tamat kejohanan.
PASUKAN USM dan Jabatan Kesihatan negeri bergambar kenangan selepas tamat kejohanan.

Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Kesihatan negeri dinobatkan juara bersama kategori senior Kejohanan Sepak Takraw Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) peringkat negeri yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban, di sini, baru-baru ini.

Trio USM dan Jabatan Kesihatan negeri terpaksa berkongsi kejuaraan selepas kedua-dua pasukan masing-masing menang satu set pada aksi final.

Kedua-dua pasukan menerima pingat dan barangan elektrik bernilai RM300 sumbangan MAKSAK serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri A Rahman Musbah.

Jabatan Pendidikan negeri serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut berkongsi tempat ketiga sekali gus menerima barangan elektrik bernilai RM150 dan pingat.

Bagi kategori veteran pula, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul juara dan menerima barangan elektrik bernilai RM300 manakala naib juara disandang Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang menerima barangan elektrik RM150.

Tempat ketiga dikongsi USM dan JBPM yang menerima barangan elektrik bernilai RM70.

Rahman berkata, pertandingan itu menjadi platform terbaik bagi pemilihan pemain dan pasukan yang akan akan mewakili Pulau Pinang ke pertandingan sepak takraw MAKSAK peringkat kebangsaan tidak lama lagi.

“Kita mahu membuka ruang kepada semua kakitangan kerajaan dalam acara sukan selain disiplin serta semangat juang tinggi ketika membuat persediaan bagi menghadapi kejohanan besar akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 8:16 AM