PEMAIN Kampung Makam bergambar bersama hadiah dimenangi.
PEMAIN Kampung Makam bergambar bersama hadiah dimenangi.

Georgetown: Kampung Makam dinobat sebagai juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Liga Sukan Untuk Semua Pulau Pinang selepas menewaskan Seberang Perai Selatan (SPS) B menerusi sepakan penalti 3-1 di Kompleks Belia dan Sukan (KBS) Batu Uban, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Kampung Makam menerima wang tunai RM2,500, pingat emas dan sijil penyertaan manakala SPS B membawa pulang wang tunai RM2,000, pingat perak dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri A Rahman Musbah dan turut dihadiri Pegawai Penggalakan dan Pembangunan Sukan JBS negeri Kamarol Azlan Abdul Hamid.

Pada saingan aksi final itu, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan cemerlang apabila masing-masing membuat beberapa percubaan namun gagal menghasilkan gol dan terikat 0-0 hingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti.

Ternyata barisan pemain muda Kampung Makam lebih menyerlah apabila menyumbat tiga gol berbanding SPS B yang terpaksa akur dengan hanya satu gol menerusi penalti.

Tempat ketiga menjadi milik Universiti Sains Malaysia (USM) selepas menundukkan Batu Kawan menerusi penentuan sepakan penalti 3-2.

USM menerima wang tunai RM1,500, pingat gangsa dan sijil penyertaan manakala Batu Kawan membawa pulang wang tunai RM1,000, pingat gangsa dan sijil penyertaan.

A Rahman berkata, liga sukan itu penting bagi mempromosikan kegiatan sukan di peringkat akar umbi khususnya di setiap kawasan termasuk luar bandar dan pedalaman.

“Kegiatan sukan amat penting serta harus dibudayakan dan kita berharap setiap orang di negara ini perlu aktif sekurang-kurangnya satu jenis sukan.

“Pulau Pinang mempunyai bakat besar dalam bidang sukan dan berharap bakat mereka dapat digilap seterusnya mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Liga sukan ini dilaksanakan setiap tahun dengan beberapa matlamat menggalakkan masyarakat bersukan secara berterusan dan meningkatkan kepakaran serta sukarelawan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 7:06 AM