Manila: Kerajaan Filipina semalam mula menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah di tengah negara itu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan taufan Hagiput.

Penduduk di perkampungan tepi pantai dan kawasan yang sering dilanda tanah runtuh diarah berpindah ke kawasan selamat yang disediakan kerajaan ketika taufan kategori tiga itu menuju wilayah Samar Timur dengan angin selaju 140 hingga 170 kilometer sejam.

Sebahagian besar penduduk di kawasan itu masih lagi menderita akibat taufan Haiyan yang memusnahkan sebahagian besar penempatan tahun lalu.

Hagupit bermaksud ‘serangan ganas’ dalam bahasa Filipina ketika ini berada di kepulauan Palau dan dijangka semakin kuat sebelum melanda timur Filipina Sabtu ini.

Agensi kaji cuaca negara itu meramalkan, ia akan menjadi taufan kategori empat dalam masa 36 jam.

“Sudah pasti kami memaksa penduduk berpindah. Tidak ada alasan untuk menolak arahan itu. Kita sudah belajar daripada Haiyan,” kata Naib Datuk Bandar Tacloban, Jerry Yaokasin. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 7:51 AM