PEMANDANGAN di bandar Legazpi, wilayah Albay, selepas Taufan Hagupit membadai kawasan itu semalam.
PEMANDANGAN di bandar Legazpi, wilayah Albay, selepas Taufan Hagupit membadai kawasan itu semalam.

Legaspi: Taufan Hagupit memusnahkan kediaman dan membawa ombak menghempas kawasan pantai di timur Filipina semalam, meningkatkan penderitaan jutaan penduduk yang berdepan dengan beberapa bencana besar sebelum ini.

Taufan itu membadai dari Lautan Pasifik, menyasarkan kawasan perkampungan nelayan terpencil di Pulau Samar malam kelmarin dengan membawa angin selaju 210 kilometer sejam.

Kekuatan angin yang dibawa Hagupit itu menjadikannya taufan paling kuat melanda Filipina tahun ini, mengatasi taufan Julai lalu yang meragut lebih 100 nyawa.

“Banyak rumah, khususnya di kawasan pantai diterbangkan oleh angin kencang. Banyak pokok dan tiang telefon juga tumbang,” kata Datuk Bandar Catbalogan, Stephany Uy-Tan.

Bimbang dengan kemungkinan berulangnya kemusnahan yang diakibatkan oleh Taufan Haiyan tahun lalu, kerajaan bertindak memindahkan berjuta-juta penduduk ke tempat lebih selamat sebelum Hagupit tiba.

Lebih 7,350 penduduk terbunuh dalam bencana yang dibawa Taufan Haiyan November tahun lalu.

Harapan untuk mengelak bencana besar-besaran meningkat apabila kelajuan angin yang dibawa Hagupit menurun mendadak hingga 170 kilometer sejam awal pagi semalam.

Sehingga jam 4 petang semalam, pihak berkuasa Filipina berkata, hanya dua kematian dilaporkan.

Bagaimanapun, Hagupit dijangka mengambil masa tiga hari untuk merentasi seluruh Filipina, membadai wilayah tengah yang banyak didiami penduduk miskin.

Pihak berkuasa Filipina sudah bersiap sedia berdepan dengan senario paling buruk.

Kerajaan sebelum ini memberi amaran, hujan lebat yang dibawa Hagupit mendedahkan beberapa kawasan kepada banjir kilat dan tanah runtuh.

Di Manila, bandar raya yang didiami 12 juta penduduk, pihak berkuasa mengarahkan supaya semua sekolah ditutup ekoran ramalan hujan lebat di seluruh ibu negara itu hari ini.

Haiyan yang membadai tahun lalu adalah taufan terbesar pernah dicatatkan setakat ini. Dengan kelajuan angin 315 kilometer sejam, ia menyebabkan ribut dan ombak seperti tsunami yang memusnahkan banyak bandar.

Di Tacloban, antara bandar paling teruk dilanda Haiyan, rumah sementara yang dibina oleh agensi bantuan untuk mangsa yang terselamat dalam taufan itu, musnah selepas kawasan itu dibadai Hagupit.

Penduduk bandar itu bagaimanapun lega kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku.

“Kami sudah lebih bersedia selepas Haiyan,” kata Timbalan Datuk Bandar Jerry Yaokasin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:51 AM