Tacloban: Mangsa taufan Haiyan semalam memperingati ulang tahun pertama bencana itu sambil menitiskan air mata ketika jutaan penduduk setempat masih dibelenggu kepapaan.

Di kawasan perkuburan massa, ribuan orang hadir sambil membawa bunga-bungaan dan nyalaan lilin sambil mengucapkan doa.

Seorang daripada mereka ialah Josephine Crisostomo, 41, yang kehilangan tiga anaknya akibat taufan amat kuat itu.

“Saya sangat rindukan mereka, terutama John Dave yang akan menyambut hari lahir esok (hari ini).

“Ibu sangat rindukan kamu, ibu sangat sayangi kamu,” katanya.

Taufan Haiyan melanda Tacloban dan membunuh lebih 7,350 orang dengan kelajuan angin yang meranapkan seluruh bandar itu.

Pembinaan semula Tacloban berjalan dengan amat perlahan bagi kebanyakan mangsa dan ramai mangsa masih terpaksa hidup di kawasan petempatan amat daif.

Elena Olendan, 50, berkata, selepas setahun dia masih tertanya-tanya nasib adiknya yang hilang.

Dengan mata berlinangan air, dia mengunjungi satu demi satu kubur mangsa Haiyan bagi mencari nama adiknya itu.

“Namanya tiada dalam senarai korban,” katanya.

Akhirnya pada satu salib kosong di hujung kubur, Elena berlutut dan menulis nama adiknya, Antonio.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:07 AM