JAGUAR XF
JAGUAR XF
ENJIN menyalurkan 240PS
ENJIN menyalurkan 240PS
RUANG kokpit tampak mewah
RUANG kokpit tampak mewah
KONSUL tengah dengan butang gear
KONSUL tengah dengan butang gear
Erywan Norshal


Kelebihan kerangka aluminium-intensif yang lebih kukuh dan ringan serta sarat dengan teknologi termaju adalah keistimewaan Jaguar XF selaku rangkaian baharu kenderaan sedan keluaran Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd.

Kini berat baharunya lebih ringan sehingga 190 kilogram berbanding versi terdahulu dengan 28 peratus lebih teguh, selain menjadi teras kepada keselesaan serta perincian dinamik pemanduan.

Bentuk baharunya disaluti rekaan dinamik dengan sentuhan ala coupe, selain menggabungkan elemen elegan serta garis badan sempurna sebagai tanda khas barisan model baharu kenderaan Jaguar.

Dimensi Jaguar XF kini memiliki panjang 4.954 meter (m) bagi memberi kelegaan penumpang belakang sekali gus mendahului dalam kelasnya dengan penambahan 15 milimeter (mm) bagi ruang kaki serta 24mm lebih untuk ruang lutut.

Bacaan kecekapan aerodinamiknya juga lebih baik daripada Cd 0.29 bagi model sebelumnya kepada Cd 0.26 bagi Jaguar XF.

Ruang kabin menerima sentuhan material mewah kontemporari dengan ketelitian kemasan kualiti tinggi yang melambangkan kemewahan serta dilengkapkan teknologi termaju.

Dengan ciri seperti skrin TFT 12.3 inci boleh alih pada kluster utamanya dengan sistem maklumat dan hiburan InControl Touch sebagai tawaran pilihan menjadikan Jaguar XF sebagai model paling mantap dilengkapi rangkaian perhubungan serta teknologinya.

Bagi pasaran tempatan, ia ditawarkan dua varian membabitkan Jaguar XF Prestige dan XF R-Sport dengan harga masing-masing bermula daripada RM450,000 serta RM460,000 tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Kedua-duanya dikuasakan enjin 2.0 liter i4 turbocas petrol dengan kuasa maksimum 240PS dan 340Nm tork yang dipadankan transmisi automatik elektronik lapan kelajuan Jaguar Sequential Shift.

Varian Prestige didatangkan rim 15 jejari Lightweight 17 inci, tempat duduk kulit, kemasan plat besi khas Jaguar serta stereng kulit dengan pelbagai fungsi kawalan.

Berlainan pula dengan XF R-Sport, ia dilengkapi sistem gantungan sport, rim 10 jejari Helix 18 inci dan kit badan R-Sport, stereng kulit khusus R-Sport serta kemasan plat besi R-Sport.

Bagaimanapun, kedua-dua varian itu dilengkapi ciri teknologi termaju membabitkan Kawalan Pemanduan Jaguar, Bantuan Stereng Kuasa Elektrik (EPAS), Torque Vectoring dan All Surface Progress Control (ASPC).

ASPC adalah sistem yang mengawal input brek dan pedal minyak untuk menentukan cengkaman terbaik pada apa juga permukaan jalan dan sembarang cuaca bagi memberikan keyakinan kepada pemandu dalam keadaan permukaan licin.

Bagi pengalaman pemilikan premium, setiap model XF dilengkapi dengan Jaguar Care program eksklusif merangkumi jaminan lima tahun, servis lima tahun dan bantuan jalanan selama tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:02 AM