BENTUK menawan.
BENTUK menawan.
Oleh Erywan Norshal

BMW Group Malaysia memperkembangkan model kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dengan memperkenalkan BMW X6 xDrive35i M Sport.

Langkah itu juga mengukuhkan posisi BMW X6 xDrive35i M Sport varian CKD menerusi penampilan dengan tarikan luar biasa dan menawarkan prestasi mengagumkan yang turut dilengkapi inovasi kemewahan.

Bagi model CKD, ia ditawarkan pakej M Sport sebagai ciri standard bagi meningkatkan gaya eksklusif membabitkan ciri M Aerodinamik dan Suspensi Adaptive M, selain hadir rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 20 inci.

Ruang dalaman pula, pakej M Sport itu tampil dengan tempat duduk sporty boleh dilaras secara elektronik bersama fungsi memori untuk kerusi hadapan serta diceriakan kemasan bumbung warna gelap.

Ciri lain yang ada di ruang kabin BMW X6 CKD termasuk penyaman udara empat zon dan lampu persekitaran eksklusif terletak pada ketinggian bahu. Stereng M balutan kulit turut dilengkapi butang pelbagai fungsi dan pedal pertukaran gear.

BMW X6 xDrive35i M Sport itu digerakkan enjin petrol enam silinder bersesaran tiga liter yang memiliki semua ciri BMW EfficientDynamics. Ia menjanjikan prestasi lebih mantap dengan 306 kuasa kuda manakala tork setinggi 400 Nm.

Jentera besar itu dikatakan berupaya memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 6.4 saat hingga kelajuan maksimum 240 km/j.

Enjin itu digabungkan transmisi sport Steptronic lapan kelajuan untuk penukaran gear yang lancar serta menawarkan tahap penjimatan bahan api dengan purata penggunaan 8.6 liter setiap 100 km.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, pengenalan itu menjadikannya model kesembilan yang menyertai portfolio kenderaan CKD BMW di negara ini dan ditawarkan lebih murah hampir RM50,000 berbanding model import serta dijual pada harga asas RM666,888.

Katanya, memperkenalkan varian BMW X6 xDrive35i M Sport akan membuka permintaan dalam pasaran tempatan, biarpun kini dilihat semakin mencabar sehingga pengguna semakin berhati-hati untuk membeli.

BMW X6 xDrive35i M Sport varian CKD didatangkan dalam warna putih, merah, hitam dan kelabu. Ia turut hadir bersama pilihan material kulit Dakota seperti hitam, merah dan coklat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:01 AM