Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

BARU-BARU ini, BMW 840i Gran Coupé M Sport menyertai barisan rangkaian model mewah lain yang ditawarkan oleh BMW Malaysia.

Menggabungkan ciri premium, prestasi dan keselesaan dalam satu bentuk seni gaya coupe, model ini adalah yang paling mewah pernah dihasilkan oleh pengeluar kenderaan dari Jerman itu.

Pada bahagian hadapan, gril ginjalnya lebih lebar dan berciri graviti rendah, ia dipadankan dengan lampu laser bantuan pancaran tinggi automatik.

Ia juga tampil lebih bergaya dengan kit badan BMW M Aerodynamic sebagai ciri standard varian pakej BMW M Sport.

Ia turut menerima sentuhan elemen Gran Turismo melalui garis bumbung ke belakang yang memaksimumkan kesan visual tiang-C dan reka bentuk siripnya melalui BMW Hofmeister kink.

Melalui bentuk L, lampu LED belakang pula kelihatan cukup bergaya.

SENTUHAN elemen GT pada coupe.
SENTUHAN elemen GT pada coupe.

Ekzos M Sport dan rim aloi 20 inci jejari Y 728 M Bicolour pula cukup ideal dengan model ini.

Jarak rodanya dipanjangkan 20 sentimeter, ia juga tampil dengan pintu tanpa bingkai cermin malah bahagian penumpang belakangnya lebih selesa.

Ia cukup berbeza dengan model coupe BMW yang diperkenalkan sebelum ini.

Untuk menambah elemen kemewahan pada BMW 840i Gran Coupé M Sport, ia dilengkapi enjin 3. 0 liter TwinPower Turbo.

Enjin ini mampu mencapai kelajuan sehingga 250 kilometer/sejam (km/j).

Ia menghamburkan kuasa 340hp pada 5,000 hingga 6,500rpm dengan daya tork 500Nm pada 1,600 hingga 4,500rpm.

Lebih memikat, ia mengambil masa sekitar 5.2 saat untuk memecut daripada sifar ke 100km/j dan adalah yang terpantas dalam segmennya.

Untuk melancarkan pecutan dan prestasi, ia dibekalkan dengan transmisi lapan kelajuan Steptronic termaju melalui pacuan roda belakang sDrive BMW.

REKAAN hadapan dengan gril lebih lebar.
REKAAN hadapan dengan gril lebih lebar.

Ruang dalamannya menyerlahkan kesinambungan estetika.

Ia dilengkapi bumbung panorama, roda stereng kulit M, papan pemuka kulit, tempat duduk (4+1) elektrik sports yang berintegrasi dengan perehat kepala.

Elemen digital diserlahkan melalui 'BMW Live Cockpit Profesional' dengan kluster meter bersaiz 12.3 inci dan skrin sesentuh bersaiz 10.25 inci.

Ia memuatkan pelbagai ciri termaju untuk kelancaran operasi kenderaan termasuk interaksi suara Bantuan Peribadi Pintar BMW untuk iDrive Controller dan BMW Gesture untuk lebih fokus pada pemanduan.

Model ini dilengkapi sistem bunyi terbaik Harman Kardon melalui 16 pembesar suara.

Seterusnya membolehkan ia memainkan muzik daripada 'Apple Car Play' selain Kunci Paparan BMW dan 'BMW Connected Package Professional'.

Enam warna ditawarkan iaitu 'Biru Barcelona', 'Biru Sonic Speed', 'Hitam Carbon', 'Hitam Sapphire', 'Putih Mineral' dan 'Oren Sunset'.

Ia boleh dipadankan dengan kemasan kulit BMW Individual merangkumi 'Black', 'Night Blue', 'Cognac', 'Tartufo' dan 'Fiona Red'.

Untuk pasaran Malaysia, ia dijual pada harga RM968,800 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun serta Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.

Melalui program pembiayaan dinamik 'Balloon Financing Plan', ia kini boleh dimiliki dengan ansuran bulanan bermula daripada RM11,058 (berdasarkan anggaran 80 peratus pinjaman bagi tempoh lima tahun).

PAPAN pemuka kemasan kulit bermutu tinggi.
PAPAN pemuka kemasan kulit bermutu tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2020 @ 7:00 AM