JAGUAR F-Pace versi R-Sport yang dilancarkan.
JAGUAR F-Pace versi R-Sport yang dilancarkan.
Oleh Mohd Razlan Salleh


Kuala Lumpur: Jaguar Land Rover (M) Sdn Bhd melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi Jaguar F-Pace yang menjanjikan prestasi pemanduan mengagumkan selain sesuai untuk kegunaan harian.

Model menggunakan enjin 3.0L enam silinder (V6) Supercaj itu dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan Jaguar Sequential Shift.

Sebanyak dua varian ditawarkan antaranya Prestige dan R-Sport yang lebih bergaya.

Majlis pelancarannya dirasmikan Pengarah UrusanJaguar Land Rover (M) Sdn Bhd Datuk Aishah Ahmad, hari ini.

Menurut Aishah, sebagai SUV pertama, model berkenaan dijangka mampu meningkatkan jenama Jaguar selain meluaskan pasarannya di negara ini.

"Kami yakin produk baru ini memenuhi keperluan pengguna tempatan yang mahukan sebuah SUV praktikal untuk kegunaan harian.

"SUV ini turut dikenali sebagai 'kereta sport paling praktikal di dunia'," katanya.

Jaguar F-Pace mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam tempoh 5.8 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j.

Varian Prestige dijual pada harga RM598,800 manakala versi berprestasi tinggi ditawarkan pada harga RM658,000.

Harga kedua-duanya termasuk cukai jalan dan insurans.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 12:23 PM