SEGMEN kenderaan sederhana mewah baharu.
SEGMEN kenderaan sederhana mewah baharu.
STERENG dengan butang pelbagai fungsi.
STERENG dengan butang pelbagai fungsi.
BENTUK belakang yang mantap.
BENTUK belakang yang mantap.
Oleh Erywan Norshal


Buat kali pertama, kenderaan premium Britain menerusi Jaguar Land Rover memperkenalkan segmen baharu kenderaan mewah saiz sederhana menerusi Jaguar XE.

Model pertama intensif aluminium itu dibangunkan berteraskan seni bina kenderaan modular baru Jaguar Land Rover.

Bagi pasaran tempatan, kehadiran Jaguar XE melengkapkan lagi model sedia ada membabitkan XF dan XJ. Malah, Jaguar XE mampu bersaing dengan model premium lain seperti BMW 3 Series.

Jentera pacuan roda belakang itu turut menggunakan teknologi monokok intensif aluminium yang mana strukturnya sangat mantap serta ringan.

Ia juga hadir dengan sistem suspensi ‘double wishbone’ di bahagian hadapan, manakala belakang menggunakan gandar Pautan Bersepadu untuk menjadikan pemanduan lebih dinamik. Bentuknya aerodinamik yang terbaik dalam kelasnya memberi bacaan pekali seretan 0.26.

Model baharu yang diperkenalkan oleh Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) bagi pasaran tempatan juga hadir dengan sistem bantuan pemandu paling canggih. Ia membabitkan padanan Kawalan Perjalanan Semua Permukaan untuk mencapai cengkaman maksimum pada roda kelajuan rendah semua permukaan jalan.

Jaguar XE didatangkan Kawalan Pacuan Jaguar membolehkan pemandu memilih mod Normal, Eco, Dynamic atau Winter yang bakal menukar pemetaan stereng serta pendikitnya. Malah, ia dilengkapi sistem yang ada pada model prestasi Jaguar F-Type Coupe membabitkan Pemvektoran Tork menerusi brek bagi memberi pengawalan stereng lebih rendah untuk pengalaman pemanduan memuaskan.

Menyentuh kabin dalamannya, ia menjanjikan tahap keselesaan dan ruang yang unggul. Paling menarik adalah konsul tengahnya yang tampak kemas serta ringkas dengan butang bulat bagi penukaran gear.

Sistem info-hiburan, InControl Touch dengan paparan skrin sesentuh lapan inci yang turut dan sebagai pilihan turut ditawarkan teknologi kepakaran audio Britain jenama Meridian.

Selain itu, ruang but belakang dengan kapasiti 455 liter menyediakan banyak ruang simpanan, lebih-lebih lagi kerusi belakang berkeupayaan lipatan 40:20:40.

Jaguar XE dipasarkan tiga varian membabitkan Prestige, R-Sport dan S, selain ketiga-tiganya menyalurkan kuasa maksimum berbeza.

Bagi varian Prestige dan R-Sport, ia diperkasa enjin sama iaitu 2.0 liter turbo tetapi menyalurkan kuasa maksimum masing-masing 200PS serta 240PS. Varian S pula menyalurkan 340PS dengan menggunakan rangkaian kuasa V6 3.0 liter, sama dengan Jaguar F-Type.

Bagaimanapun, ketiga-tiga varian itu dilengkapi sistem transmisi automatik lapan kelajuan.

Harga bagi Prestige, R-Sport dan S masing-masing dijual pada RM340,000; RM365,000 dan RM580,000. Selain itu, ketiga-tiga varian hadir dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:01 AM