TIGA anak lelaki Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Muhammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak, (dari kiri) Wan Muhammad Amar, 19, Wan Emir Astar, 26, dan Wan Imar Izzat, 25, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London. Mereka dijangka berangkat ke Sarawak pada jam 7.30 malam tadi. FOTO Fariz Iswadi Ismail

Siti A'isyah Sukaimi

Sepang: "Kali terakhir kami bertemu bapa pada Jumaat minggu lalu semasa dia menghadiri tugasan di luar negara. Bapa datang ke rumah dan kami sempat makan tengah hari bersama," kata Wan Emir Astar, 26, anak sulung Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad.

Wan Emir serta dua adiknya, Wan Imar Izzat, 25, dan Wan Muhammad Amar, 19, bertemu bapanya di London baru-baru ini sewaktu Wan Khair-Il Anuar mewakili menteri ke luar negara.

Anak sulung itu berkata, bapanya datang ke rumah di London dan banyak perkara dibualkan termasuk soal pelajaran dan peperiksaan selain memberi nasihat kepada mereka.

"Kami menghabiskan masa bersama dari pagi dan sehinggalah kali terakhir melihatnya di lapangan terbang selepas menghantarnya," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Mereka tiba di tanah air dari London jam 5.30 petang dan berlepas ke Kuching, Sarawak kira-kira jam 7.30 malam hari ini.

Sementara itu, Wan Imar Izzat berkata, pada mulanya dia mengetahui berita kehilangan helikopter menerusi media sosial dan cuba mencari berita sahih mengenai perkara itu, namun tidak ditemui.

"Bagaimanapun, seorang rakan menelefon saya memaklumkan kejadian itu dan pada waktu itu saya terkelu dan tidak tahu mahu cakap macam mana.

"Kemudian, saya menelefon ibu bertanyakan mengenai bapa. Ibu agak hairan kerana saya bertanyakan beberapa soalan dan dia mula tidak sedap hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 7:50 PM