Pimpinan BN meraikan kemenangan mereka di PRK Kuala Kangsar. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Pimpinan BN meraikan kemenangan mereka di PRK Kuala Kangsar. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Nasharuddin MuhammadWan Asrudi Wan Hassan dan Yusmizal Dolah Aling dan Mohd Hafizee Mohd Arop


Kuala Kangsar: Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid berjaya menewaskan tiga calon dari pembangkang iaitu Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Dr Ahmad Termizi Ramli (PAN) dan Izzat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Kemenangan dengan majoriti 6,969 undi itu membolehkan BN mengekalkan kerusi dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Mastura,55, yang juga balu kepada bekas ahli parlimen kawasan itu Allayarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, memperoleh 12,653 undi sementara Dr Najiha 5,684 undi, Dr Ahmad Termizi 4,883 undi dan Izzat 54 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakari di Dewan Jubli di sini, jam 10 malam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan empat anak Mastura iaitu Wan Emir Astar, Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Mohamad Ammar.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

Pada PRU13, arwah Wan Mohamad Khair-il berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,082 undi selepas memperoleh 14,218 undi mengatasi Khalil Idham Lim (PAS) memperoleh 13,316 undi dan Datuk Kamalia Ibrahim (Bebas) 447 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 10:07 PM