MAJLIS Tahlil Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar di kediamannya di Bukit Setiawangsa. FOTO Muhd Asyraf Sawal
MAJLIS Tahlil Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar di kediamannya di Bukit Setiawangsa. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Suraya Roslan


Ampang: Kemuliaan hati Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad meyakinkan keluarganya yang insan tersayang itu kini berada di tempat terbaik di sisi Allah SWT.

Anak sulung arwah, Wan Emir Astar, 26, berkata, ia dibuktikan dengan beberapa peristiwa kecil yang dialami keluarganya termasuk mimpi dialami oleh orang paling rapat dengan bapa.

Dia berkongsi kisah sepupunya dikenali sebagai Zara, 3, yang bermimpi bertemu arwah beberapa hari selepas kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sarawak.

"Sejak disahkan kematian bapa, Zara begitu rindu dan mahu bersalam dengan Ayah Chor (Wan Mohammad Khair-il Anuar).

"Kemudian satu hari dia terbangun daripada tidur dan menyebut nama Ayah Chor menyebabkan saya tertanya-tanya apa yang dimimpikan," katanya kepada media di sini, malam tadi.

Menurutnya, Zara memberitahu dia bermimpi bersalam dengan Ayah Chor yang berpakaian serba putih sambil tersenyum.

"Saya terkedu mendengar dan percaya bapa kini berada di tempat terbaik kerana dia memang berhati mulia.

"Kami yakin arwah berada di tempat terbaik di sisi Allah SWT.

"Walaupun sukar untuk terima hakikat ini, kami sekeluarga reda dan mendoakan yang terbaik buat arwah," katanya.

Dalam nada sebak Wan Emir turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya.

Dalam majlis itu, lebih 500 tetamu menghadiri majlis tahlil arwah di kediaman mereka di Puncak Setiawangsa, Ampang, semalam

Antara tetamu kenamaan yang hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam kejadian 5 Mei lalu, helikopter dinaiki Wan Mohammad Khair-il Anuar dilaporkan terputus hubungan sebelum dipercayai terhempas ke Sungai Batang Lupar berhampiran Triso, Sebuyau ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.

Insiden itu turut mengorbankan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon bersama suaminya, Asmuni Abdullah; pengawal peribadi mereka, Lans Koperal Ahmad Sobri Harun; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Sundaran Annamalai serta juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Pix Asyraf Sawal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 11:30 PM