Laporan mengenai wanita warga emas yang menjadi mangsa samun di rumahnya di Taman Baiduri, Geliga, semalam. - Foto Fail
Laporan mengenai wanita warga emas yang menjadi mangsa samun di rumahnya di Taman Baiduri, Geliga, semalam. - Foto Fail
BERNAMA

Kemaman: Selepas lima hari menerima rawatan, wanita warga emas yang menjadi mangsa samun di rumahnya di Taman Baiduri, Geliga, di sini meninggal dunia, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata wanita berusia 68 tahun itu meninggal dunia pada 5.10 petang semalam, ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman.

"Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa yang tinggal bersendirian itu cedera parah di kepala," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jumaat lalu warga emas itu disamun dan rantai leher dipakainya dilarikan dua lelaki dalam kejadian kira-kira 9 malam.

Bagaimanapun insiden itu hanya disedari dua hari kemudian, selepas anggota keluarganya menziarahi mangsa kira-kira 10 pagi, Ahad lalu, dan menemui mangsa terbaring tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik.

Mohd Said berkata pihaknya percaya mangsa dipukul menggunakan objek keras dan polis sedang mengenal pasti dua individu menerusi rakaman CCTV yang dipasang di luar rumah.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 11:17 PM