(dari kiri) Tuan Yah, Nor Nadia Natasha dan Abd Halim. FOTO Ihsan Bomba, FOTO mangsa Rosli Ilham
(dari kiri) Tuan Yah, Nor Nadia Natasha dan Abd Halim. FOTO Ihsan Bomba, FOTO mangsa Rosli Ilham
Rosli Ilham


Kemaman: Dua lagi mangsa tragedi kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh, disahkan meninggal dunia malam ini.

Kedua-dua mangsa berkenaan dikenali sebagai Rosliza Mat Hussin, 38, dan Nur Alisha Mardiah Mohammad Ubaidillah Zikri, dua tahun.

Rosliza dikatakan menaiki kereta bersama tiga ahli keluarganya yang meninggal lebih awal manakala Nur Alisha Mardiah, adalah penumpang sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua mangsa terbabit disahkan meninggal ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Kemaman.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan kedua-dua kenderaan jenis Proton Persona itu kira-kira jam 5 petang.

"Turut meninggal dalam kenderaan yang dinaiki Rosliza ialah Tuan Yah Dollah, 61, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23, dan kanak-kanak perempuan, Nor Syafinaz Naura Saiful Azwan, tiga tahun.

"Manakala turut meninggal penumpang sebuah lagi kereta yang iaitu penumpang hadapan Abd Halim Ismail, 71, dan cucunya, Nur Alisha Mardhiah," katanya.

Hanyan berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila salah sebuah kereta terbabit dikatakan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta yang datang dari arah bertentangan.

"Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut manakala semua mangsa yang cedera turut dihantar menerima rawatan di Hospital yang sama.

"Kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 12:10 AM