Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki yang menceroboh rumah warga emas di Taman Baiduri, Kemaman, sebelum menyamun dan mencederakan mangsa. - Foto Ihsan PDRM
Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki yang menceroboh rumah warga emas di Taman Baiduri, Kemaman, sebelum menyamun dan mencederakan mangsa. - Foto Ihsan PDRM
BERNAMA

Chukai: Seorang wanita warga emas parah di kepala akibat menjadi mangsa samun di Taman Baiduri, Geliga, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata kejadian kira-kira 9 malam yang menimpa mangsa berusia 68 tahun itu hanya disedari dua hari kemudian ketika anggota keluarganya menziarahi mangsa di rumahnya.

Beliau berkata, anak dan menantunya yang tiba di rumah mangsa kira-kira 10 pagi mendapati pintu jeriji serta pintu utama rumah mangsa terbuka dan sebaik masuk, mereka dapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri dalam sebuah bilik.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kemaman kerana mengalami kecederaan belakang kepala dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan luar rumah, polis mengesan dua lelaki memakai topi keledar bertutup muka

penuh memasuki rumah berkenaan.

Mohd Said percaya mangsa juga dipukul menggunakan objek keras sehingga menyebabkan kecederaan dan hasil siasatan mendapati rantai leher dipakai mangsa hilang, dipercayai dilarikan dua penjenayah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 8:04 PM