ALIFF Syukri (kiri) bersama isteri Datin Nur Shahida Mohd Rashid melepaskan burung serindit sebagai simbolik memberi semangat kepada pasukan Kedah.
ALIFF Syukri (kiri) bersama isteri Datin Nur Shahida Mohd Rashid melepaskan burung serindit sebagai simbolik memberi semangat kepada pasukan Kedah.

Alor Setar: Penajaan syarikat kosmetik D’Herbs Holdings Sdn Bhd bernilai RM30 juta untuk tempoh tiga tahun kepada Kedah dengan sasaran menaikkan imej skuad Helang Merah menjadi pasukan berpengaruh dan digeruni dalam sukan bola sepak negara.

Malah, Pengarah Urusan D’Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman turut bersedia untuk memberi komitmen akan menyambung kontrak penajaan jika pemain pasukan yang turut dikenali dengan nama Hijau Kuning itu beraksi dengan baik sepanjang tempoh penajaan.

Aliff berkata, beliau memilih Kedah untuk memberi penajaan dalam jumlah besar itu kerana melihat semangat juang dan kesatuan yang dimiliki barisan pemainnya.

Menurutnya, Kedah disifatkan sebagai pasukan yang kuat dan memiliki maruah, selain berpotensi untuk pergi lebih jauh kerana mereka mempunyai pemain muda yang mampu lebih menyerlah pada masa akan datang.

“Segalanya sudah selesai apabila saya (D’Herbs) bersetuju menaja pasukan Kedah sebanyak RM30 juta bagi tempoh tiga tahun. Ia diharap dapat dimanfaatkan penjenamaan dan pengkomersilan skuad Helang Merah selain melakukan penambahbaikan di Stadium Darul Aman yang uzur.

“Penajaan membabitkan nilai wang yang besar juga adalah untuk pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi di negeri ini selain perbelanjaan menguruskan skuad Kedah kerana mahu melihat pasukan ini menjadi hebat dan disegani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pengumuman penting selepas menyaksikan perlawanan Liga Super antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (DT) di Stadium Darul Aman, di sini, awal pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 9:52 AM