ALIFF Syukri (kanan) bersama Duta D’Herb Thailand, Catreeya Awae pada majlis pelancaran di Napoh, semalam.
ALIFF Syukri (kanan) bersama Duta D’Herb Thailand, Catreeya Awae pada majlis pelancaran di Napoh, semalam.
Zuliaty Zulkiffli

Jitra: D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D’Herbs) berjaya meneroka pasaran Thailand sejak dua bulan lalu dengan jualan mencecah hampir RM50,000 sebulan.

Pengarah Urusannya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata, sebanyak 10 produk keluaran syarikatnya sudah berada di Thailand yang diuruskan oleh rakan kongsinya, Catreeya Awae yang juga duta produk itu di sana.

Selain itu, beliau menyasarkan akan memperoleh hasil jualan mencecah RM1 juta dalam tempoh tiga bulan akan datang walaupun masih baru dalam mengembangkan sayap perniagaan produk D’Herbs itu.

“Sekarang ini kami masih baru bukan mudah untuk menguruskan kemasukan produk ke negara luar kerana kita perlu mendaftar produk dengan kementerian kesihatan di sana terlebih dahulu.

“Alhamdulillah dengan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam yang banyak membantu saya dan Catreeya, akhirnya berjaya memasarkan produk ini di Thailand.

“Kita akan mula menghebahkan mengenai produk ini melalui akhbar tempatan di negara itu (Thailand) bulan depan untuk menarik minat pelanggan di sana terutamanya rakyat kita yang bermastautin di sana,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri ADUN Bukit Kayu Hitam, di Pekan Napoh, di Jitra, Kedah, semalam.

Majlis pelancaran produk penjenamaan semula D’Herbs Thailand itu turut disertai rakan niaga dari Thailand pada majlis yang dihadiri hampir 10,000 tetamu termasuk pegawai kerajaan negara jiran dan pasukan keselamatan di negara ini.

Aliff Syukri berkata, beliau akan berulang alik ke Thailand untuk membantu Catreeya menguruskan perniagaan itu selain membantunya memasarkan produk.

Beliau berkata, setakat ini mereka sudah mempunyai 20 ejen di Thailand iaitu di Songkhla, Narathiwat, Pattani, Yala dan Bangkok.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menjadi rakan perniagaan kami boleh mengeluarkan modal sebanyak 3,500 baht (RM218),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 7:16 AM