ALIFF Syukri (kanan) memberi sumbangan zakat kepada asnaf dan fakir miskin.
ALIFF Syukri (kanan) memberi sumbangan zakat kepada asnaf dan fakir miskin.
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: “Saya pernah masak kuah kosong dengan sebiji telur goreng untuk lauk anak saya makan kerana duit dalam tangan cuma ada 50 sen ketika itu,” kata Aliza Ali, 39, mengenang keperitan ditanggung kira-kira lapan tahun lalu.

Menurut Aliza, itulah lauk harian mereka sekeluarga, malah dia juga terpaksa berkorban lapar berikutan mahu mendahulukan anaknya akibat kesempitan hidup.

“Pernah saya dan suami sanggup tak makan kerana sebiji telur terpaksa dibahagikan kepada dua anak yang masih kecil ketika itu,” katanya.

Dia yang kini bekerja sebagai tukang cuci pinggan mangkuk dan pembuat air di sebuah restoran segera di Kota Damansara berkata, peristiwa itu antara pengalaman yang tidak dapat mereka sekeluarga lupakan.

“Saya menyara keluarga dengan pendapatan RM700 sebulan memandangkan suami yang hilang upaya tidak mampu untuk bekerja akibat kemalangan dua tahun lalu.

“Syukur Alhamdulillah keperitan kami turut mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menyalurkan bantuan bulanan RM350.

“Saya juga berterima kasih kepada pihak D’Herbs dan LZS kerana memberi sumbangan hari raya ini,” katanya yang mempunyai enam anak berusia antara enam hingga 15 tahun.

Wanita berkenaan antara 200 penerima zakat anjuran D’Herbs Holdings (M) Sdn Bhd (D’Herbs) dengan kerjasama LZS yang menerima bantuan makanan keperluan asas serta wang tunai sempena Aidilfitri di Wisma D’Herbs di Kota Damansara di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan D’Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman serta Pengurus Daerah Gombak LZS Azhar Yahya.

Sementara itu, Aliff Syukri berkata, beliau menanam impian mempunyai yayasan sendiri iaitu Abang Terlajak Tolong bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

“Kalau boleh saya mahu salurkan bantuan bukan saja pada Ramadan tetapi setiap bulan kerana baru saya sedar masih ramai lagi orang Malaysia yang hidup susah.

“Buat permulaan, di bawah Abang Terlajak Tolong di Facebook dan Instagram saya memilih empat orang kurang bernasib baik di Kelantan, Perak dan Sungai Buloh untuk diberikan bantuan sewajarnya.

“Doakan misi ini dapat direalisasikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 11:55 AM