Skuad Kedah membuat persiapan suku akhir kedua Piala FA berdepan Sabah malam esok. FOTO KEDAH FA
Skuad Kedah membuat persiapan suku akhir kedua Piala FA berdepan Sabah malam esok. FOTO KEDAH FA
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar: Skuad Helang Merah dijangka mendapat tajaan berjumlah RM30 juta untuk tempoh tiga tahun daripada D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd jika perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dimuktamadkan.

Difahamkan, tajaan berkenaan membabitkan nilai RM10 juta setahun dan perbincangan berada pada peringkat akhir sebelum pengumuman rasmi bakal dibuat.

Setiausaha Kehormat KFA Datuk Aminuddin Omar berkata, Presiden KFA Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan berjumpa dengan pengasas D'Herbs Datuk Aliff Syukri Kamarzaman untuk rundingan akhir pada petang esok sebelum membuat pengumuman berkaitan tajaan.

Menurutnya, beliau difahamkan penajaan berjumlah RM10 juta setahun selama tiga tahun membabitkan jumlah tajaan keseluruhan sebanyak RM30 juta.

"Penajaan berkenaan dijangka mampu membantu merancakkan pembangunan sukan bola sepak Kedah selain menjadi pencetus semangat kepada skuad Helang Merah untuk berusaha gigih bagi memastikan kejayaan pada musim ini.

"D'Herbs turut meletakkan beberapa syarat tetapi tidak mengganggu KFA dan skuad negeri dalam memberi fokus pada setiap perlawanan," katanya.

Beliau berkata pada sidang media berhubung pertemuan antara KFA dan kelab penyokong skuad Helang Merah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Kelmarin, pengurusan KFA diketuai Presidennya mengadakan pertemuan bersama tujuh wakil kelab penyokong Kedah bagi mendengar pendapat dan luahan dalam majlis ramah mesra di Sri Mentaloon, Anak Bukit, di sini, kelmarin.

Kedah akan beraksi menentang Sabah pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 8:58 PM