KETUA  Seksyen Penguat Kuasa JPJ Taiping, Khairul Shah Abu Kasim menunjukkan lesen palsu yang dirampas.
KETUA Seksyen Penguat Kuasa JPJ Taiping, Khairul Shah Abu Kasim menunjukkan lesen palsu yang dirampas.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Seorang pemandu lori menggunakan lesen memandu palsu antara 18 yang ditahan dalam Operasi Bersepadu dijalankan oleh pihak berkuasa di sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol arah selatan, dekat sini, malam kelmarin.

Pemandu lelaki berusia 28 tahun itu turut mendakwa tidak mengetahui langsung lesen memandu dimilikinya itu palsu.

Ketua Trafik Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara Bukit Aman Asisten Superintendan Mohd Hazil Reza Mohd Ghazali berkata, pemandu lori itu kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan pemalsuan dokumen.

“Pihak kami juga akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai dokumen itu bagi mengetahui punca dan dari mana serta bagaimana ia diperoleh,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Mohd Hazil Reza berkata, operasi selama tiga jam bermula jam 9 malam membabitkan 86 anggota daripada pelbagai agensi itu menahan lima pemandu lori dan bas yang positif dadah serta 12 tangkapan warga asing.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:54 AM