Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO IHSAN BOMBA
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Polis mengesahkan kemalangan yang mengorbankan dua beranak, semalam, disebabkan kereta dipandu seorang doktor yang tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Juna Yusoff berkata, dalam kejadian 7.50 malam di Kilometer 93.5 Jalan Ipoh – Butterworth berdepan Surau Al-Hidayah di Kampung Kedai 2, Tebok Rimba, Simpang 4, Semanggol, dekat sini itu, pemandu lori berusia 37 tahun serta ibunya, 64, tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah.

Menurutnya, dua beranak itu adalah peniaga sate dan mereka dipercayai dalam perjalanan pulang dari Semanggol menghala ke Taiping.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lori yang dipandu dari Semanggol menuju ke arah Taiping.

"Apabila sampai di tempat kejadian lori itu dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta dari arah Taiping yang secara tiba-tiba masuk ke laluan lori.

"Akibat kemalangan itu, pemandu lori dan penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berusia 28 tahun yang juga seorang doktor di Hospital Taiping mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 9:35 AM