KETUA Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib (dua kiri) bersama Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Zakaria Abd Rahman (kiri) dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Asisten Komisioner Shahron Anuar Abdul Latif (tiga kiri) menziarahi Koperal Mohd Zamri Zainal. (Gambar kecil) Laporan Harian Metro berkenaan kemalangan di Kilometer 223.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara semalam. FOTO STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
KETUA Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib (dua kiri) bersama Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Zakaria Abd Rahman (kiri) dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Asisten Komisioner Shahron Anuar Abdul Latif (tiga kiri) menziarahi Koperal Mohd Zamri Zainal. (Gambar kecil) Laporan Harian Metro berkenaan kemalangan di Kilometer 223.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara semalam. FOTO STR/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PEMANDU lori yang mengakibatkan pelajar kolej maut dan dua anggota polis parah dalam kemalangan di Kilometer 223.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Changkat Jering, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, lelaki, 35, berasal dari Kulim, Kedah yang tidak cedera dalam kemalangan maut itu direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

“Pemandu lori terbabit ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah, dan semakan juga mendapati dia mempunyai rekod lampau membabitkan kemalangan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dua anggota polis yang dirawat di Hospital Taiping, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Superintendan Zakaria Abd Rahman, Pegawai Turus Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak Asisten Komisioner Shahron Anuar Abdul Latif.

Bercakap mengenai keadaan dua anggota polis yang cedera iaitu Koperal Khairul Zulhamie Mat Deris, 29, (patah kaki kiri) dan Koperal Mohd Zamri Zainal, 47 (patah kaki kanan), Mohamad berkata, kedua-duanya dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun susulan kejadian itu, isteri seorang anggota polis yang cedera itu (Khairul Zulhamie) mengalami keguguran awal pagi tadi.

“Isterinya yang berusia 33 tahun dan hamil tiga bulan, mengalami keguguran pada 3.30 pagi dan kini dirawat di hospital sama," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, terdapat penyebaran maklumat palsu yang tular di media sosial mendakwa kejadian berlaku susulan kenderaan Unit Rondaan Lebuh Raya (EMPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan mengejar sebuah lori untuk mendapatkan duit.

Menurutnya, dakwaan itu tidak benar kerana kejadian berlaku ketika tiga anggota polis berkenaan mahu membantu kereta seorang pengguna lebuh raya yang mengalami tayar pancit sebelum dirempuh lori.

“Satu laporan polis sudah dibuat oleh Komander EMPV Zon Utara 3 Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Inspektor Mohd Izarrie Shafie berikutan penularan maklumat palsu dan menghina polis itu.

“Kertas siasatan dibuka dan pihak polis kini sedang mengesan pemilik akaun Facebook yang membuat dakwaan itu,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tragedi tayar pancit

Satu maut, 3 polis trafik cedera

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 7:13 PM