HAZIL Reza (dua kiri) melihat tayar kenderaan bagi memastikan ia sesuai serta selamat untuk digunakan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
HAZIL Reza (dua kiri) melihat tayar kenderaan bagi memastikan ia sesuai serta selamat untuk digunakan. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PENGGUNAAN tayar celup dah haus pada kenderaan perdagangan antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Bersepadu dan Terancang Kenderaan Perdagangan Lebuhraya Zon Utara 3, Unit Penguatkuasaan Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman, malam tadi.

Dalam operasi bermula 10 malam di Kilometer 225 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang (arah selatan), Taiping, lapan kenderaan perdagangan disaman selepas didapati menggunakan tayar berkenaan.

Pegawai Turus Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali berkata, 120 kenderaan perdagangan membabitkan 80 lori dan 40 bas diperiksa dalam ops berkenaan sebelum dua kes tayar celup dan enam kes penggunaan tayar haus dikesan.

Menurutnya, keseluruhan 76 saman dikeluarkan pihaknya manakala pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengeluarkan 16 saman.

"Operasi kali ini lebih tertumpu kepada kenderaan perdagangan yang menggunakan tayar celup dan membahayakan sehingga menyebabkan banyak kes kemalangan berlaku disebabkan serpihan tayar kenderaan yang pecah dan bertaburan di laluan lebuh raya.

"Selain daripada saman yang dikeluarkan, 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia dari 20 hingga 46 tahun membabitkan warga Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Nepal dan Indonesia ditahan berikutan tiada dokumen perjalanan sah selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan," katanya.

Hazil Reza berkata, dua lelaki dipercayai pemandu dan kelindan lori berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas ujian air kencing yang dijalankan positif dadah jenis Methampetamin.

Ops berkenaan dijalankan oleh lapan pegawai dan 66 anggota membabitkan pelbagai agensi antaranya polis, JPJ, AADK, PUSPAKOM dan PLUS.

Sementara itu, lelaki berusia 29 tahun yang ditahan AADK merayu kepada pihak media supaya gambarnya tidak dirakam kerana bimbang dan malu diketahui isteri serta anak-anaknya.

Suspek yang juga kelindan lori dipandu bapanya sendiri, ditahan berikutan ujian air kencing yang dijalankan positif dadah jenis Methamphetamin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 8:30 AM