SEBUAH motosikal yang ditemui dalam bas persiaran dua tingkat dipercayai diubah suai ketika Operasi Bersepadu Lebuhraya Zon Utara, semalam.
SEBUAH motosikal yang ditemui dalam bas persiaran dua tingkat dipercayai diubah suai ketika Operasi Bersepadu Lebuhraya Zon Utara, semalam.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Seorang pemandu bas ekspres tergamam sebaik ditunjukkan rekod 23 saman pelbagai kesalahan yang belum dilangsaikannya ketika ditahan dalam Operasi Bersepadu Lebuhraya Zon Utara di Kilometer 195.3, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Lebuhraya PLUS arah selatan, dekat sini, malam kelmarin.

Operasi itu diadakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pemandu berusia 40-an itu adalah pemandu kedua bas yang ditahan dalam operasi berkenaan yang bermula jam 10 malam dan berakhir jam 12.30 tengah malam.

Sebanyak 324 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, operasi membabitkan 15 pegawai dan 70 anggota pelbagai agensi dan pihaknya turut menahan sembilan lelaki, masing-masing lima pemandu lori dan empat kelindan kerana positif methamphetamine.

Beliau berkata, tujuh lagi lelaki ditahan berikutan dua daripada mereka memiliki syabu serta sejumlah cecair dalam botol dipercayai ketum.

“Sebanyak 190 kenderaan membabitkan 90 kereta, 70 lori dan 30 bas diperiksa dalam operasi berkenaan. Sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing tiga Indonesia, Myanmar (tiga), Vietnam (dua) dan seorang Mesir ditahan berikutan tiada dokumen perjalanan dan tinggal lebih masa di negara ini.

“Mereka yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun dan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama Pegawai Turus Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 8:14 AM