KONTINJEN Kelantan bergambar bersama Mortadza (lima dari kanan) dan Mazlan (belakang, empat dari kiri).
KONTINJEN Kelantan bergambar bersama Mortadza (lima dari kanan) dan Mazlan (belakang, empat dari kiri).
Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Pasukan Futsal Kontinjen Polis Kelantan membuktikan kejaguhan apabila berjaya mengekalkan gelaran juara Piala Ketua Polis Negara 2016 untuk tahun kedua berturut-turut.

Tahun lalu, gelaran sama diperoleh pasukan di bawah bimbingan Inspektor Awang Abu Bakar ketika kejohanan dilangsungkan di Perak.

Pengurus pasukan futsal Kontinjen Kelantan Asisten Superintendan Ahmad Arifin berkata, selain kesungguhan pemain, kejayaan itu diraih hasil sokongan padu Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim selaku penasihat pasukan.

Katanya, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Futsal Pengkalan Chepa, pasukannya menang 3-2 ke atas Selangor manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Pulapol Kuala Lumpur diikuti Kontinjen Polis Kuala Lumpur.

“Sekurang-kurangnya pengorbanan kami berlatih selama lima jam sehari pada sebelah pagi dan petang selama dua bulan, berbaloi apabila mampu mempertahankan kejuaraan.

“Memang saingan sangat mencabar terutama apabila pasukan pencabar juga kuat. Namun kesungguhan 12 pemain kami dan semangat berpasukan membolehkan gelaran ini dipertahankan.

“Kami juga berharap prestasi terbaik ini dapat bertahan hingga kejohanan berikutnya,” katanya ketika ditemui.

Majlis penutup kejohanan disempurnakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mortadza Nazarene.

Sebanyak 18 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita merebut piala dan diadakan setiap tahun.

Kategori wanita dimenangi pasukan Pulapol Kuala Lumpur diikuti Selangor dan Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:04 AM