Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya meraih sumbangan RM160,000 selepas tiga hari berlari sejauh 200 kilometer (km) dari kawasan yang diwakilinya.

Menerusi inisiatif yang dipanggil 'Langkah Muar' itu, Syed Saddiq tiba di hadapan bangunan Parlimen, jam 9.30 pagi.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada lebih 2,000 penyumbang bagi menjayakan misinya untuk rakyat Muar.

"Sejujurnya, saya terhutang budi dengan semua pihak yang mana 2,000 rakyat Malaysia yang menyumbang tapi lebih, saya terharu mereka bukan sahaja menyumbang dalam talian, malah sambil berlari ada yang sumbang wang kepada misi ini.

"Ada yang beri RM100, RM50, RM10 dan ada adik yang beri RM1, ini sangat luar biasa," katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq berkata, larian itu bertujuan untuk mengutip dana RM100,000 bagi Pusat Khidmat Muar yang diperlukan untuk menggerakkan operasi bagi membantu rakyat.

Turut hadir Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).

Dalam pada itu, Syed Saddiq mendesak supaya kerajaan mengembalikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang bagi memudahkan wakil rakyat membantu mereka yang memerlukan di kawasan masing-masing.

"Kita desak supaya hak itu dikembalikan jangan nafikan kerana warna politik, itu tidak adil, zalim dan salah," katanya.

Beliau turut memaklumkan akan mempertimbangkan untuk menggerakkan larian buat kali kedua, sekiranya kerajaan masih enggan memberikan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

"Ini bukan tentang Parlimen Muar semata-mata, tapi ini berkaitan rapat dengan negeri pembangkang dan isu royalti yang patut diberikan, ini adalah isu hak rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:46 AM