Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) serah memorandum kebenaran pengeluaran Akaun 1 kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Bersolidariti secara aman di pintu masuk Parlimen. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) serah memorandum kebenaran pengeluaran Akaun 1 kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Bersolidariti secara aman di pintu masuk Parlimen. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kira-kira 100 individu berdemonstrasi menuntut kelonggaran pengeluaran sekurang-kurangnya sehingga 30 peratus jumlah caruman daripada Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik mereka di hadapan bangunan Parlimen, hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Putri Fira Affandi berkata, caruman itu perlu dipindahkan ke akaun bank pencarum atau Akaun Fleksibel milik mereka dengan kadar segera.

"Hari ini, kira-kira 100 individu hadir (berdemonstrasi) daripada semua negeri.

"Kita menuntut hak sama rata kepada pencarum tercicir yang mempunyai baki kurang RM20,000 dan yang tidak lagi mempunyai baki.

"Berikan kelonggaran pengeluaran daripada Akaun 1 terus ke akaun bank pencarum atau dipindahkan ke Akaun Fleksibel dengan kadar segera," katanya ditemui.

Kumpulan itu turut menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada beberapa Ahli Parlimen seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian) dan Datuk Awang Hashim (Pendang).

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, pihaknya menyokong tuntutan dibuat itu memandangkan keadaan ekonomi dan tekanan kos hidup yang meningkat kini.

"Kerajaan sepatutnya mempertimbangkan pandangan mereka supaya caruman KWSP dapat dimanfaatkan pada waktu terdesak.

"Kita simpan ialah untuk kegunaan waktu terdesak. Kalau waktu terdesak kerajaan tidak boleh pertimbang, saya fikir ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam waktu ini," katanya.

Awang pula berharap kerajaan mengambil perhatian terhadap tuntutan yang diminta oleh pencarum berkenaan agar mereka dapat meneruskan kehidupan.

"Mereka sedang membina kembali kehidupan yang mana kebetulan KWSP menubuhkan Akaun Fleksibel atau Akaun 3.

"Pihak pencarum menuntut supaya hanya 10 hingga 30 peratus sahaja dipindahkan daripada Akaun 1 ke Akaun Fleksibel.

"Saya rasa ini tuntutan yang sangat baik bagi kedua-dua pihak iaitu KWSP yang menjadi penyimpan pencarum ini dan pencarum juga boleh meneruskan agenda mereka untuk teruskan hidup sehingga mereka pencen," katanya.

Selain itu, katanya, nilai 10 hingga 30 peratus itu juga adalah satu nilai ambang kepada KWSP untuk pemindahan wang ke Akaun Fleksibel.

"Kalau ikut KWSP, dia tidak meletakkan sasaran berapa peratus untuk dipindahkan ke Akaun Fleksibel. Tuntutan pencarum ini memberikan nilai ambang kepada KWSP untuk memindahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 11:56 AM